Teknologi, ICT memperkasa daya cipta manusia

Teknologi, ICT memperkasa daya cipta manusia

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Sept –Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Timbalan Sultan, selaku Penaung Diraja BICTA berkenan berangkat menyempurnakan Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2016 hari ini.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ke Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas dijunjung oleh Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa menyampaikan sembah alu-aluan menyatakan kreativiti dan inovasi tidak lahir dengan sendirinya tanpa inspirasi, keupayaan dan penyelidikan serta galakan pihak-pihak tertentu.

Menurutnya lagi, Kementerian Perhubungan akan terus dipandu oleh faktor-faktor berkenaan dalam menjana daya saing dengan memberi penekanan kepada penerapan modal insan demi menggalakkan rakyat dan penduduk di negara ini untuk terus menceburi bidang daya cipta, kreativiti dan inovasi dalam ICT.

Menurut laporan International Telecommunication Union, Negara Brunei Darussalam berada di kedudukan ke-71 daripada 167 buah negara dalam Indeks Perkembangan ICT 2015, manakala dalam Indeks Inovasi Global 2014 yang dikeluarkan World Intellectual Property Organisation, negara masih berada di kedudukan ke-88 daripada 143 negara, jelas Yang Berhormat Dato.

Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.
Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.
Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan Anugerah Pemenang Kategori Pengajian Tinggi kepada Universiti Teknologi Brunei (UTB).
Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan Anugerah Pemenang Kategori Pengajian Tinggi kepada Universiti Teknologi Brunei (UTB).
Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan Anugerah Pemenang Kategori Projek Sekolah kepada Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan.
Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan Anugerah Pemenang Kategori Projek Sekolah kepada Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan.

Ini bermakna masih banyak ruang yang boleh diperbaiki untuk bersaing dengan negara lain terutama dari aspek kesediaan ICT, akses Internet, penggunaan dan kemahiran serta perhatian dalam aspek kreativiti dan inovasi, tambahnya.

Sehubungan itu, untuk mencapai matlamat ini, perlunya sokongan padu daripada semua pihak khususnya agensi-agensi kerajaan dan sektor swasta selaras dengan hasrat menjadikan Wawasan 2035 sebagai satu kenyataan.

Beliau turut menjelaskan perkembangan ICT terus memainkan peranan sangat penting dalam pembangunan masyarakat yang berilmu.

“Sebagai satu sektor ekonomi, ia mampu menjana peluang pekerjaan dan menggalakkan pertumbuhan pendapatan negara serta merapatkan jurang perbezaan masyarakat,” katanya.

“Teknologi dan keupayaan ICT dalam memperkasa daya cipta manusia terus memberangsangkan,” tambahnya, dan keadaan ini dijangka berterusan dalam jangka masa panjang terutama dengan adanya perkembangan terbaru seperti Internet of Things, Big Data, Cloud Computing, Mobile Computing dan sebagainya.

DYTM berkenan dijunjung berangkat untuk menyaksikan pameran BICTA 2016.
DYTM berkenan dijunjung berangkat untuk menyaksikan pameran BICTA 2016.
DYTM berkenan menerima pesembah.
DYTM berkenan menerima pesembah.

pg08_160907_f

“Bukan setakat itu, perkembangan ini juga satu demi satu bakal membuka lebih luas prospek evolusi teknologi ICT di masa akan datang,” katanya.

Menurut Yang Berhormat Dato, cabaran ini akan menimbulkan suasana persaingan sengit terutama kepada negara yang sedang membangun.

“Celik IT di peringkat dewasa di negara ini juga terus meningkat ke tahap yang sangat memuaskan iaitu sebanyak 95 peratus,” jelasnya.

Kementerian Perhubungan, juga sedang meneliti dasar pemberian perlindungan hak cipta atau Intellectual Property Rights kepada hasil-hasil inovasi yang memiliki nilai komersial.

Menurutnya lagi, strategi ini bertujuan untuk menggalakkan penyelidikan dan penjanaan idea baru serta memanfaatkan keupayaan modal insan untuk merangsang kreativiti dan reka-cipta melalui kolaborasi dengan penyedia-penyedia teknologi yang terkemuka.

“BICTA akan berperanan sebagai satu institusi untuk mengasah potensi, merangsang inovasi dan mengiktiraf ciptaan aplikasi dan penyelesaian ICT yang bercalak keBruneian untuk memacu kemajuan industri ICT tempatan bagi memberikan sumbangan yang lebih besar kepada pertumbuhan ekonomi negara,” jelasnya.

Sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Menteri Perhubungan.
Sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Menteri Perhubungan.
Antara yang hadir ke majlis itu.
Antara yang hadir ke majlis itu.

Dengan adanya kreativiti dan inovasi, sektor ICT mampu menjadi jentera penggerak pembangunan ke tahap ekonomi yang dinamik, mapan dan berdaya tahan.

BICTA sejauh ini terus menerima sambutan baik dengan jumlah penyertaan yang sangat menggalakkan daripada penuntut dan institusi pengajian tinggi di samping syarikat-syarikat ICT terutama di kalangan syarikat baru, yang terus memberi komitmen melalui penyertaan yang konsisten setiap tahun.

“Dengan beraspirasikan Generasi Digital Berwawasan, BICTA 2016 juga menawarkan anugerah khas bagi mengiktiraf peserta yang menyumbang dan menunjukkan potensi tinggi dalam beberapa bidang utama, iaitu Usahawan Harapan, ICT Hijau, Teknologi Baru dan Pemaju Muda,” tambah Yang Berhormat Dato.

Anugerah Khas ini bertujuan untuk menguji keupayaan mereka dalam memanfaatkan perkembangan teknologi terkini di mana pemenang BICTA akan dipilih untuk mewakili Negara Brunei Darussalam untuk bersaing dan memperlihatkan daya cipta mereka di peringkat serantau khususnya di Asia Pacific ICT Alliance Awards, atau APICTA 2016, yang akan diadakan di Taipei pada bulan Disember 2016. Beliau seterusnya menyembahkan, penyertaan Negara Brunei Darussalam di dalam APICTA sejak 2008, telah mencapai tahap yang membanggakan dengan memenangi dua anugerah kemenangan dan 17 anugerah merit.

“Antara mereka telah berjaya menembusi pasaran serantau seperti MARS Enterprise, Crescent Sdn Bhd, PHMD Publishing Company, DotRoot Technologies dan SnapFeed Sdn Bhd,” tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA