Teknologi moden rawatan jantung

Teknologi moden rawatan jantung

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jun – Pusat Perubatan Jantung Gleneagles JPMC bakal memperkenalkan beberapa teknologi moden dalam rawatan penyakit jantung bagi pesakit di negara ini dalam beberapa bulan akan datang.

Antara peralatan canggih terbaru dalam dunia perubatan jantung yang akan diperkenalkan kepada pesakit jantung di negara ini ialah perentak jantung terkini tanpa wayar yang ditempatkan di dalam jantung pesakit dan digerakkan oleh bateri yang mempunyai jangka hayat 10 tahun.

Menurut Ketua Unit Kardiologi Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang juga Pakar Perunding Elektrofisiologi Pusat Kardiologi Gleneagles JPMC, Dr Sofian bin Dato Paduka Dr Haji Johar, perentak jantung baru itu berukuran dua sentimeter dengan berat keseluruhan dua gram, dan masih belum digunakan ke atas ramai pesakit kecuali beberapa pesakit di Malaysia, Asia dan Australia.

Ketika ditemu bual pada hari kedua Persidangan Jantung Antarabangsa ke-5 di Jerudong, hari ini, beliau menjelaskan, buat masa ini alat tersebut masih belum diperoleh di negara ini tetapi menegaskan akan dapat menggunakannya ke atas pesakit jantung tempatan dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Beliau seterusnya berkata, persidangan kali ini juga akan mendedahkan beberapa teknologi rawatan terkini penyakit jantung, antaranya penggunaan injap berteknologi tinggi bagi merawat kerosakan injap pada jantung dan juga kaedah terbaru dalam rawatan saluran jantung yang tersumbat.

Dr Sofian menerangkan mengenai objektif persidangan berkenaan.
Dr Sofian menerangkan mengenai objektif persidangan berkenaan.

Diminta mengulas mengenai penganjuran persidangan peringkat antarabangsa itu, Dr Sofian berkata, matlamatnya adalah untuk mempertingkatkan kesedaran umum mengenai masalah sakit jantung yang lazim dihidapi oleh masyarakat negara ini.

“Persidangan kali ini lebih memfokuskan kepada aspek kepakaran dalam penyakit jantung, termasuk jenis rawatan yang dapat ditawarkan kepada pesakit jantung tenat,” katanya sambil menambah objektif persidangan itu juga merangkumi pengenalan peralatan dan jenis rawatan sakit jantung terkini yang boleh digunakan oleh pakar-pakar jantung tempatan.

Menurutnya, kalau kaedah rawatan lama akan meninggalkan parut yang ketara di bahagian dada pesakit, maka dengan kaedah rawatan moden yang baru diperkenalkan pada pertengahan tahun lalu, prosedur rawatan menggantikan injap yang rosak kini dilakukan dengan menebuk lubang halus di bahagian kaki pesakit dan melakukan penggantian injap jantung melaluinya.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari itu dihadiri lebih 50 doktor pakar dan kakitangan perubatan tempatan.

Seramai 10 doktor pakar yang berkaitan dengan rawatan sakit jantung menyampaikan pembentangan pada persidangan itu, antaranya Dr Ahn Hyuk, iaitu pakar bedah toraks dan kardiotoraks dari Korea Selatan; Perunding Kardiologi Institut Jantung Negara, Malaysia, Datuk Dr Sanjiv Joshi; Perunding Kanan Kardiologi Pusat Vaskular dan Jantung Singapura, Dr Paul Chiam; dan Dr K.K. Yeo dari Pusat Jantung Negara, Singapura.

ARTIKEL YANG SAMA