Teknologi pelengkap umat sebagai Khalifah

Teknologi pelengkap umat sebagai Khalifah

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Kemodenan dan kecanggihan era teknologi telah menghasilkan pembangunan yang berupaya untuk membantu merealisasikan aspirasi ummah dengan menerapkan Islam bagi memberikan kesejahteraan dan melestarikan kehidupan.

“Pada abad ini, pelbagai ciptaan berdasarkan sains dan teknologi telah diperkenalkan bagi memudahkan aktiviti manusia sekali gus menjadi pelengkap manusia sebagai seorang khalifah Allah untuk mentadbir dan memakmurkan alam ini mengikut syariat-Nya,” ujar Dekan Fakulti Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Hajah Noor Hira binti Haji Noor Kaseh.

Beliau menekankan perkara berkenaan ketika membentangkan kertas kerja mengenai ‘Syariah dan Teknologi: Pelengkap Umat Sebagai Khalifah’ dalam sesi pembentangan bertajuk ‘Syariah dan Teknologi’ pada Simposium Majlis Ilmu 2016 yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

Simposium yang dimudah carakan oleh Dekan Fakulti Ekonomi & Kewangan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani itu turut mengetengahkan beberapa pembentang lain.

Antaranya ialah Pengarah Pusat Bahasa KUPU SB, Dr. Haji Hambali bin Haji Jaili yang telah membentangkan mengenai ‘Menghindari sifat mazmumah di jalan raya : Mujahadah yang dituntut’. Antara yang ditekankan dalam pembentangan beliau adalah mengenai masalah akhlak di mana dalam Islam, masalah berkenaan mendapat perhatian yang sangat besar.

Dr. Nor Zainah ketika menyampaikan pembentangan beliau.
Dr. Nor Zainah ketika menyampaikan pembentangan beliau.

“Salah laku jalan raya merupakan sifat mazmumah yang berkaitan dengan sikap pengguna jalan raya. Dari segi etika, perkara ini berpunca daripada keperibadian pengguna jalan raya yang buruk, penyusunan tatatingkat nilai yang bermasalah dan juga pelbagai masalah psikologi yang memecahkan benteng moral pemandu.”

Menurut Dr. Haji Hambali, bagi menyelesaikan masalah salah laku jalan raya, semua pihak seharusnya mengambil pendekatan penyelesaian menyeluruh agar ia dapat diubati dengan nilai ajaran Islam yang syumul.

Kemudian, Pensyarah Kanan Sekolah Pengkomputeran dan Informatif, Universiti Teknologi Brunei (UTB), Dr. Nor Zainah binti Siau membentangkan kertas kerja mengenai ‘Perhubungan Berkat Melalui Media Sosial’.

Beliau antara lain menjelaskan bahawa perhubungan yang melibatkan teknologi penting dalam menyampaikan sebarang maklumat, sama ada melalui online ataupun media komunikasi yang mana maklumat boleh didapati dengan mudah dan cepat.

Walaupun terdapat kesan negatif dalam media sosial seperti pencemaran bahasa dan maklumat yang tidak menepati kehendak, namun Dr. Nor Zainah berpendapat, terdapat kebaikan dalam menggunakannya dan antaranya, ia boleh membantu dari sudut organisasi perniagaan. Dalam pembentangannya itu, beliau juga menumpukan mengenai Twitter, satu sumber yang kaya data pendapat dan analisis sentimen, yang mana melalui kaedah berkenaan, peniaga/pengusaha boleh memperbaiki cara pemasaran produk (seperti kaedah viral marketing) dan perkhidmatan mengikut kehendak pelanggannya.

“Secara tidak langsung, analisis sentimen boleh mencetuskan hubungan yang baik antara peniaga dan pelanggannya melalui proses yang membolehkan mereka memberikan perkhidmatan dan produk yang mesra pelanggan. Kaedah tersebut membolehkan pembentukan perhubungan yang berkat,” tekan beliau.

ARTIKEL YANG SAMA