Teknologi pen...

Teknologi penternakan akuakultur baru, moden

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Negara Brunei Darussalam dan Singapura, hari ini, mencatatkan saat bersejarah dalam usaha sama sektor perikanan dengan bermulanya fasa pembinaan bangunan sistem akuakultur bertingkat untuk projek Ladang Akuakultur Vertikal Atas Tanah.

Projek syarikat usaha sama KR Apollo Sdn Bhd itu terletak di kawasan seluas 12 hektar di Tapak Akuakultur Airtawar, Sungai Jambu, Kampung Tungku.

Upacara peletakan batu asas bagi pembinaan berkenaan, hari ini, telah disempurnakan bersama oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong bersama Menteri Negara, Menteri Pembangunan Kebangsaan dan Perdagangan & Perindustrian Singapura, Dr. Koh Poh Koon yang berada di negara ini dalam rangka lawatan selama dua hari bagi meninjau peluang pelaburan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi KR Apollo Sdn Bhd, Yang Amat Mulia Pengiran Kerma Raja Pengiran Haji Kamarulzaman bin Pengiran Pekerma Setia Diraja Pengiran Haji Ali.

Projek tersebut akan memperkenalkan teknologi baru penternakan akuakultur secara bertingkat menggunakan sistem akuakultur kitar semula dan akuakultur intensif berdensiti tinggi yang membolehkan peningkatan produktiviti ke tahap lebih tinggi berbanding sistem akuakultur konvensional.

Yang Amat Mulia Pengiran Kerma Raja Pengiran Haji Kamarulzaman turut menyempurnakan peletakan batu asas projek berkenaan, kelmarin.
Yang Amat Mulia Pengiran Kerma Raja Pengiran Haji Kamarulzaman turut menyempurnakan peletakan batu asas projek berkenaan, kelmarin.
Majlis menandatangan kontrak oleh wakil dari KR Apollo Sdn Bhd dan Jabatan Perikanan sambil disaksikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan Dr. Koh Poh Koon.
Majlis menandatangan kontrak oleh wakil dari KR Apollo Sdn Bhd dan Jabatan Perikanan sambil disaksikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan Dr. Koh Poh Koon.

Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan menyempurnakan peletakan batu asas Projek Akuakultur Pelbagai Tingkat di Sungai Jambu, kelmarin.
Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan menyempurnakan peletakan batu asas Projek Akuakultur Pelbagai Tingkat di Sungai Jambu, kelmarin.
Dr. Koh Poh Koon menyempurnakan peletakan batu asas Projek Akuakultur Pelbagai Tingkat di Sungai Tanah Jambu, kelmarin.
Dr. Koh Poh Koon menyempurnakan peletakan batu asas Projek Akuakultur Pelbagai Tingkat di Sungai Tanah Jambu, kelmarin.

Ketinggian yang dimaksudkan adalah daripada 20 tan metrik sehektar setahun menerusi sistem konvensional kepada 400 tan metrik sehektar setahun dengan sistem berteknologi tinggi itu.

Teknologi berkenaan merupakan teknologi moden bagi penternakan/penghasilan ikan laut di kawasan bandar di mana ia akan menghasilkan ikan pada tahap maksima di kawasan yang minima.

Dibawakan menerusi operasi Syarikat Apollo Aquarium Pte Ltd, Singapura, teknologi berkenaan akan meningkatkan penternakan ikan yang kompetitif serta menjanjikan pasaran eksport ikan akuakultur dan ikan hiasan, bukan sahaja ke Singapura, tetapi juga ke pasaran antarabangsa, termasuk pasaran Eropah dan Amerika Syarikat.

Syarikat berkenaan dijangka mengeluarkan kumpulan ikan pertama menjelang akhir tahun ini. Hasilnya nanti, menurut kenyataan akhbar, akan menyumbang kepada peningkatan frekuensi logistik udara dari Brunei Darussalam.

Salah satu matlamat KR Apollo adalah untuk memberi tumpuan kepada membentuk kerjasama dengan petani tempatan dan menggunakan teknologi KR Apollo untuk meningkatkan produktiviti para petani.

Dalam masa terdekat, KR Apollo berharap dapat menjalankan penyelidikan untuk memperkembangkan spesies tempatan seperti ‘Blue shrimp’ dan ‘Macrobrachium’.

KR Apollo juga berharap untuk meningkatkan lagi kedudukan Brunei dalam bekalan global makanan laut yang diproses, sejajar dengan Wawasan Brunei 2035 untuk merangsang atau menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Dalam pada itu, lawatan Dr. Koh Poh Koon ke negara ini disertai rombongan seramai 18 orang termasuk ketua pegawai eksekutif Agrifood and Veterinary (AVA) Singapura, enam orang pegawai kanannya, lima orang pegawai kanan dari Kementerian Pembangunan Singapura dan lima orang perwakilan media.

Terdahulu sebelum ketibaan rombongan Dr. Koh Poh Koo, kelmarin rombongan seramai 12 orang dari syarikat-syarikat pelabur dan peniaga dari Singapura telah tiba lebih awal ke negara ini untuk membuat beberapa perjumpaan khas dengan agensi-agensi kerajaan dan juga pihak swasta bagi meninjau sebarang peluang-peluang pelaburan, usaha sama serta perniagaan.

Beberapa aktiviti khusus juga telah diaturkan bagi rombongan Dr. Koh Poh Koon, termasuk siri lawatan ke tapak-tapak syarikat dan beberapa perusahaan sektor perikanan dan sektor pertanian dan agrimakanan.

Selain itu juga, perjumpaan dengan agensi-agensi kerajaan dan sesi taklimat peluang-peluang pelaburan dan perusahaan, khususnya dalam sektor perikanan, pertanian, agrimakanan, perhutanan, dan pelancongan, serta sesi ‘Business-Business Matching’ yang dijangka melibatkan kira-kira 30 orang perwakilan syarikat dan pelabur tempatan.

Antara syarikat Singapura yang dijangka menyertai sesi berkenaan adalah Marine Life Aquaculture, The Fish Farmer, Commonwealth Capi-tal (Barramundi ASIA), GML Aquatic, Yik Zhuan Orchids, Hay Dairies, Ban Lee Huat Seeds Co., Soon Hong Machinery Company dan Netatech Pte Ltd.

Misi dari Singapura berkenaan dijangka akan membuka luas peluang-peluang pelaburan dan perniagaan yang lebih kukuh dalam kalangan pelabur dan peniaga tempatan dan Singapura, khususnya di sektor sumber-sumber utama dan yang berkaitan dengannya.