Teknologi terbaru Apple

Teknologi terbaru Apple

WASHINGTON, 29 Jun (AFP) – Apple Inc kini semakin melebarkan penguasaannya dalam perniagaan berita, yang mana satu aplikasi baharu yang dibangunkan berpotensi menjadikan firma tersenarai terbesar dunia itu sebagai pemain utama industri media.

Apple News akan menjadi sebahagian daripada sistem operasi baharu iOS 9, dengan sasaran menjadi sumber utama berita untuk pengguna iPhone dan iPad, sekali gus berkemungkinan menjejaskan Facebook, Google dan aplikasi berita seperti Flipboard.

Dalam satu pengumuman yang agak mengejutkan, Apple akan mendapatkan wartawan berpengalaman untuk menguruskan saluran beritanya, berbeza daripada pesaing sekarang yang mengguna pakai proses algoritma untuk berita.

“Apple teruja untuk mendapatkan berita yang dihasilkan manusia, bukannya algoritma dan ia padan dengan pernyataan jenama Apple,” kata Judd Slivka, profesor kewartawanan mudah alih di University of Missouri.

“Jangkaan kita adalah mereka akan menubuhkan satu pasukan yang akan memperhalusi bidang isi kandungan merangkumi berita khusus dan umum,” katanya.

Walaupun Apple belum memberi butiran terperinci rancangannya itu, tawaran kerja yang dipaparkan laman web syarikat itu menyebut ia sedang ‘mencari’ pengarang yang berpengetahuan dan berahi dengan kerja mereka untuk bantu mengenal pasti dan menyampaikan berita terkini, global dan berita tempatan.

Iklan itu juga menyebut, pengarah perlu mempunyai gerak rasa hebat untuk menghidu berita terkini, mengenal pasti berita yang tulen dan menyentuh hati yang tidak mungkin dapat dilakukan sistem algoritma.

Keadah ini berbeza dengan yang dilakukan Facebook, yang mencipta rumusan disasarkan untuk mengenal pasti berita yang dikatakakan dikehendaki pengguna berdasarkan tabiat, demografi dan minat mereka di laman sesawang.

ARTIKEL YANG SAMA