Teksi akan dilengkapi meter tambang perjalanan

Teksi akan dilengkapi meter tambang perjalanan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Julai – Bermula penghujung Ogos depan, teksi-teksi di negara ini akan dimuatkan dengan kelengkapan meter tambang perjalanan (taxi meter) sebagai usaha di bawah projek transformasi sistem pengangkutan awam Negara Brunei Darussalam.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Dr. Haji Supry bin Haji Ladi menjelaskan bahawa sistem teksi bermeter yang mempunyai kadar tambang berstruktur itu bukan sahaja akan menjadikan perkhidmatan teksi lebih kompetitif tetapi juga akan menjadi pilihan pengangkutan awam oleh pengguna.

“Ini bermakna struktur tambang teksi akan lebih konsisten ia akan menjadikan perkhidmatan teksi lebih teratur, telus dan pengguna akan menikmati kadar tambang berstruktur yang kompetitif setanding dengan kadar-kadar perkhidmatan teksi serantau,” tambahnya lagi semasa sidang media di Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), hari ini.

Menurutnya lagi, pihak Kementerian Perhubungan juga telah memberi arahan dasar untuk memberikan pelbagai lesen kepada operator iaitu Lesen Meter Teksi (Taxi Meter), lesen Kereta Sewa Pandu Sendiri (KSPS) dan Lesen Perkhidmatan Limousin (Limousine Service) yang mana kebanyakan operator bersetuju dengan faedah ini.

“Faedah ini dapat memberikan pilihan orang ramai terhadap perkhidmatan pengangkutan yang lain serta membantu menjana peluang-peluang kepada pengusaha teksi tempatan dalam memberi perkhidmatan yang lebih luas,” jelasnya.

Dr. Haji Supry memberikan taklimat mengenai perkhidmatan teksi di negara ini semasa sidang media di Ibu Pejabat (JPD), kelmarin.
Dr. Haji Supry memberikan taklimat mengenai perkhidmatan teksi di negara ini semasa sidang media di Ibu Pejabat (JPD), kelmarin.

Menurutnya, pada masa ini, terdapat 50 buah teksi yang berdaftar dan beroperasi di Negara Brunei Darussalam dengan sebilangan besar daripadanya berada di Daerah Brunei dan Muara serta dikendalikan oleh pengusaha persendirian. Selain pembaharuan memperkenalkan meter teksi, beberapa perancangan yang turut diperkenalkan bersama adalah perhubungan rangkaian bas yang efektif dan perkhidmatan yang lebih baik.

Pada pertengahan 2017, kerajaan melalui Kementerian Perhubungan akan terus memberikan tumpuan bagi meningkatkan perkhidmatan pengangkutan dan perhubungan sebagai barangan awam (public goods) yang terpenting.

Sistem perhubungan pengangkutan terbaru ini, jelas beliau, akan memberi kemudahan terutama kepada warga tempatan yang ingin menuju ke lokasi-lokasi secara bersistematik dengan kerjasama sektor swasta di bawah rangka kerja Perkongsian Awam Swasta (PPP).

Sebelum ini kesemua perkhidmatan perjalanan bas awam akan menuju ke Bandar Seri Begawan sebagai terminal perhentian utama mereka, tetapi dalam sistem terbaru ini, bas-bas tersebut akan bergerak ke perjalanan-perjalanan terminal lain dan bergerak ke lokasi kemudahan awam seperti tempat menarik, sekolah-sekolah dan bangunan-bangunan kerajaan serta yang ditetapkan.

Untuk meningkatkan perhubungan dan akses bas awam, tambah beliau lagi, Kementerian Perhubungan melalui JPD telah mengubah suai laluan bas di seluruh negara daripada 29 laluan yang sedia ada kepada 42 laluan bas utama yang terdiri daripada 28 laluan bas utama untuk Daerah Brunei dan Muara, lima laluan di kawasan Kuala Belait-Seria, dua di Daerah Tutong, dua di Daerah Temburong dan lima laluan merentas daerah.

Selain itu, dalam meningkatkan hubungan dan akses, sebanyak 21 perkhidmatan ‘feeder bus’ bagi kawasan perumahan juga akan diperkenalkan.

Pihak kerajaan juga akan menggunakan Sistem Pengurusan Bas Pintar (ITS), peta perjalanan yang teratur dan melengkapkan CCTV dalam bas berkenaan yang mana perancangan sepenuhnya ini akan dilaksanakan pada pertengahan 2017, tambah Dr. Haji Supry lagi.

ARTIKEL YANG SAMA