Teksi bermeter dilancar

Teksi bermeter dilancar

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Perkhidmatan pengangkutan awam di Brunei, hari ini, mencatatkan satu lagi detik penting dengan pelancaran Sistem Teksi Bermeter Negara Brunei Darussalam, yang dihasratkan dapat meyakinkan orang ramai untuk menggunakan teksi dengan harga yang berpatutan.

Perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat pada majlis yang berlangsung di kawasan letak kereta Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa semasa ditemui media sejurus pelancaran sistem tersebut mengalu-alukan orang ramai menyokong pelaksanaan tersebut dengan menggunakan teksi yang kini menawarkan kadar tambang harga yang berpatutan, setaraf dengan kadar di negara-negara lain.

Melalui sistem tersebut, kadar tambang teksi sehingga 10 kilometer perjalanan ialah $12, berbanding dengan kadar sebelum ini iaitu antara $20 hingga $40.

“Harga tambang bagi teksi sekarang adalah jauh lebih rendah daripada sebelumnya dan saya mengucapkan terima kasih kepada pemandu teksi atas persetujuan untuk menerima tarif ini,” tambah beliau.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa mendengar penerangan Pengarah Pengangkutan Darat, Dr. Haji Supry bin Haji Abd Ladi pada Majlis Pelancaran Sistem Teksi Bermeter di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa mendengar penerangan Pengarah Pengangkutan Darat, Dr. Haji Supry bin Haji Abd Ladi pada Majlis Pelancaran Sistem Teksi Bermeter di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin.

Menurut beliau lagi, memandangkan teksi bermeter ini sudah dilancarkan, pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia akan terus berusaha untuk memastikan penggunaan teksi ini terus diberigakan kepada orang ramai.

Beliau menambah, terdapat tiga usaha yang dilakukan iaitu menyediakan tempat-tempat menunggu teksi terutama di kawasan komer-sil dan tempat orang ramai yang mana ini adalah antara usaha untuk memberi kemudahan kepada orang ramai.

Kedua, dengan membuat promosi video untuk memberi galakan kepada orang ramai menggunakan teksi, dan ketiga, menerusi penggunaan IT yang membolehkan pengguna teksi dan pemandu teksi berhubung untuk keperluan mereka.

“Ketiga-tiga perkara ini akan lebih memudahkan dan lebih efisien lagi sistem teksi di Brunei khusus kepada pemberian perkhidmatan teksi di negara ini,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pihak kerajaan juga akan berusaha mencari jalan membantu pemandu-pemandu teksi di negara ini mencari rezeki mereka dan Insya-Allah kementerian akan membuka peluang untuk rakyat di negara ini.

“Pada masa ini, jumlah teksi masih terhad iaitu sekitar 50 buah dan jika ia sudah mendapat tempat di hati pengguna, perkhidmatan ini akan digandakan di samping membuka peluang untuk pencari kerja.”

Mengenai masalah mengenai teksi sapu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa berkata, kerajaan Baginda Sultan akan mengambil tindakan tegas bagi menghapuskan teksi yang tidak berdaftar melalui penguatkuasaan undang-undang. Serentak dengan itu, beliau meminta mana-mana teksi yang tidak berdaftar atau lebih dikenali dengan teksi sapu ini supaya memberhentikan perkhidmatan mereka.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa turut berpeluang menaiki teksi bermeter melalui kawasan Tamu Kianggeh dan kawasan Gadong. Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) dalam kenyataannya menjelaskan, teksi bermeter kini mempunyai imej baru dengan plat tanda pengenalan berwarna hitam dan papan tanda teksi mudah alih yang berkuat kuasa hari ini.

Selain itu, teksi juga tidak dimestikan beratap warna kuning dan mana-mana warna kenderaan boleh digunakan yang diluluskan oleh JPD.

Perkataan di tepi badan teksi juga ditiadakan. Bagaimanapun pemandu teksi juga akan mempunyai kad pengenalan pemandu yang perlu dipamerkan dalam kenderaan untuk pengetahuan penumpang. Menurut JPD, dalam usaha memastikan tahap perkhidmatan yang baik dan selamat, nombor aduan untuk kegunaan penumpang membuat aduan perilaku pemandu teksi juga diletakkan di dalam dan luar kenderaan teksi pada bahagian belakang.

Pengenalan sistem tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Kementerian Perhubungan ke arah mewujudkan sistem pengangkutan awam yang dikawal selia dan boleh diharap.

Ia juga merupakan langkah menggalakkan orang ramai sebagai penumpang untuk tidak menggunakan teksi sapu dalam sebarang perjalanan mereka yang bukan saja bagi memelihara keselamatan penumpang tapi memastikan pendapatan perkhidmatan pengangkutan awam lain yang sah tidak terjejas.

ARTIKEL YANG SAMA