Teksi tanpa pemandu dijangka 2018

Teksi tanpa pemandu dijangka 2018

SINGAPURA, 2 Ogos – Teksi tanpa pemandu dijangka mula bergerak seawal 2018, mengambil penumpang bagi perjalanan pendek atas permintaan.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura meterai perjanjian pada Isnin (1 Ogos) dengan sebuah syarikat berpangkalan di Britain, Delphi Automotive Systems, dan sebuah syarikat baru nuTonomy, yang akan menjadikan perkhidmatan kenderaan pandu sendiri (SDV) satu kenyataan.

LTA dan JTC turut melancarkan pada Isnin pusat penyelidikan dan litar SDV, di mana kenderaan tanpa pemandu boleh diuji di bawah keadaan lalu lintas. Litar ini akan dibuka kepada peserta industri untuk membangunkan produk mereka sendiri, sambil meninjau masa depan, lapor akhbar Berita Harian edisi online hari ini.

“Walaupun banyak negara dan bandar sedang menguji kenderaan pandu sendiri, kita masih belum melihat taraf dan peraturan antarabangsa sesuai untuk penggunaan berskala besar SDV,” kata Menteri Negara Kanan (Pengangkutan), Josephine Teo.

Pusat dan litar itu boleh membantu Singapura membangunkan taraf tersebut dan menggerakkan SDV di jalan raya, kata beliau.

“Ia juga satu langkah penting ke arah merealisasikan wawasan kita di mana SDV digunakan untuk sambungan pertama dan peringkat akhir di bandar bandar kita,” katanya

Ini sebahagian daripada usaha Pemerintah ke arah Singapura tanpa banyak kereta, yang akan termasuk pengangkutan tanpa pemandu dan kenderaan seper-ti itu memenuhi bahagian pertama dan terakhir perjalanan – mengambil penumpang ke dan dari rumah dan stesen MRT atau kemudahan berdekatan seperti pusat beli-belah.

nuTonomy menjangka mempunyai perkhidmatan komersial terhad menjelang 2018 dengan sehingga 75 kenderaan di kawasan tertentu, dengan perkhidmatan seluruh pulau dilancarkan pada 2020.

Syarikat baru itu, yang telah menguji kenderaan tanpa pemandu di one north sejak April, berkata ia menjangka menggunakan kenderaan elektrik yang boleh bergerak hingga 150km sebelum perlu dicas semula.

“Kami mengharapkan ia lebih murah daripada teksi biasa,” kata pengasas bersama yang juga ketua pegawai teknologi nuTonomy, Emilio Frazzoli.

Naib presiden perkhidmatan Delphi, Glen W. De Vos, berkata syarikat itu kini mempunyai enam kenderaan, tetapi menjangka mempunyai kumpulan 40 hingga 50 menjelang 2022.

Beliau berkata perkhidmatannya akan mempunyai tambang ‘kompetitif’.