Telaga beracun ragut 5 jiwa

Telaga beracun ragut 5 jiwa

NEW DELHI, 17 Mei (AFP) – Lima orang penduduk kampung berkasta rendah telah meninggal dunia selepas berusaha memulihkan telaga yang tidak digunakan di rantau kering utara India, kata polis hari ini, tatkala negara berpulih daripada kemarau paling teruk yang pernah dicatat.

Kelima-lima lelaki itu, daripada kasta paling rendah Dalit di India, terbunuh akibat gas toksik dalam lubang telaga di daerah Jind negeri Haryana semalam apabila mereka masuk untuk membersihkannya.

“Telaga tidak digunakan selama kira-kira lima hingga enam tahun dan gas beracun telah pun terbentuk di dalamnya. Kelima-lima lelaki berkenaan menghidu gas beracun itu dan meninggal dunia,” beritahu penolong ketua polis tempatan Virender Singh kepada AFP.

Laporan berkata penduduk kampung telah mengadu pihak berkuasa tempatan tidak melakukan apa-apa untuk mengatasi kekurangan teruk air minuman di kawasan itu, sekali gus memaksa lelaki tersebut memasuki telaga.

India dibelenggu krisis air paling teruk dalam beberapa tahun, dengan kerajaan berkata kira-kira 330 juta orang, satu perempat daripada penduduk, sedang mengalami kemarau selepas dua monsun yang lemah.

Hujan yang teruk telah mendorong pelaksanaan langkah ekstrem, termasuk mengehadkan air, menempatkan pengawal bersenjata di takungan dan menghantar kereta api air ke rantau yang paling teruk terjejas.

Pada minggu lalu, Mahkamah Tinggi India mengkritik Haryana dan dua negeri lain berhubung pengendalian mereka terhadap krisis, berkata mereka telahpun gagal untuk mengiktiraf masalah yang dihadapi. Singh menafi timbulnya kekurangan air minuman di Jind dan berkata penduduk kampung belum mengadu secara formal, atau meminta telaga dipulihkan.

“Mereka melakukannya dengan harapan dapat mengembalikan air dalam telaga untuk tujuan mandi atau mencuci perkakas, untuk kerja harian, bukannya untuk minuman,” kata beliau.

Perdana Menteri India Narendra Modi telah bertemu dengan ketua menteri negeri yang terjejas tatkala kerajaan nasional menerima tekanan untuk meredakan krisis.

ARTIKEL YANG SAMA