TelBru anjur taklimat My TelBru

TelBru anjur taklimat My TelBru

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Dalam usahanya untuk memastikan pembayaran bil yang lancar dan mengelak kekeliruan semasa pembayaran bil, Telekom Brunei Berhad (TelBru) hari ini menganjurkan taklimat My TelBru di Pusat Pembelajaran TelBru, Berakas.

Taklimat perkhidmatan bil online itu memberikan kemudahan kepada pelanggan untuk mengakses bil dan mengemaskinikan maklumat diri atau syarikat.

Seramai 90 orang daripada pelbagai agensi terdiri daripada kementerian dan jabatan kerajaan menghadiri taklimat yang berlangsung tiga hari pada hari ini, esok dan 19 September.

Pengurus Pemedulian Pelanggan TelBru, Awang Jefri bin Mohamed semasa ditemu bual, menjelaskan inisiatif ini dihasratkan membantu melancarkan proses pengemaskinian akaun dan mengelak caj pentadbiran.

“Perkara yang paling penting dalam inisiatif tanpa kertas ini, dari segi bil, ia dapat menyelamatkan alam sekitar kerana ia adalah penting untuk generasi akan datang,” tambahnya.

Antara yang menghadiri taklimat My TelBru di Pusat Pembelajaran TelBru, Berakas.
Antara yang menghadiri taklimat My TelBru di Pusat Pembelajaran TelBru, Berakas.
Awang Jefri semasa menyampaikan taklimat kepada pegawai kerajaan.
Awang Jefri semasa menyampaikan taklimat kepada pegawai kerajaan.

Menurutnya lagi, pelanggan yang telah mendaftar masuk menggunakan ID My TelBru boleh mengakses versi dalam talian dan aplikasi yang mana kedua-dua versi ini telah dilancarkan pada tahun 2004 dan 2013.

“Pendaftaran untuk akaun My TelBru ini mendapat respons yang baik di mana setiap bulan, kami menerima ratusan pendaftaran baru,” tambahnya.

“Ini menunjukkan peningkatan dari segi kreativiti ke arah menyediakan perkhidmatan yang cemerlang dan memuaskan kepada para pelanggan kami dan dengan My TelBru, pengguna kini boleh menambah data mereka, memantau penggunaan data mereka selain menggunakan jalur lebar dari rumah mereka di hotspot melalui TelBru WIFI,” jelasnya.

Menurutnya, sehingga hari ini, TelBru telah berjaya menubuhkan sekitar 80 kawasan hotspot dan sedang berusaha untuk menambah bilangan hotspot di seluruh negara dari semasa ke semasa.

Bagi pelanggan kediaman yang berhasrat untuk menyertai inisiatif tersebut boleh mendaftar dengan My TelBru yang mana perkhidmatan pembayaran ini boleh digunakan melalui kad kredit atau kad debit.

My TelBru membolehkan pelanggan memeriksa baki data, membeli nilai tambah, menyemak bil sebelumnya dan bil tunggakan, memuat turun bil dalam tempoh enam bulan, akses WiFi Hotspot serta ringkasan penggunaan data.

Agensi kerajaan tempatan yang melanggan perkhidmatan My TelBru tidak lagi akan menerima bil kertas sebagai sebahagian daripada inisiatif syarikat dalam mengurangkan penggunaan karbon.

ARTIKEL YANG SAMA