TelBru dikunjungi pelajar Singapura

TelBru dikunjungi pelajar Singapura

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Satu delegasi pelajar dari ITE College West, Singapura telah membuat lawatan ke bangunan TelBru Sumbiling di ibu negara, hari ini.

Lawatan berkenaan merupakan sebahagian daripada aktiviti lawatan sambil belajar mereka ke negara ini bersama Institut Pendidikan Teknik Brunei (IBTE).

TelBru dalam kenyataannya menyatakan, bersama sembilan rakan IBTE, delegasi seramai 22 orang termasuk dua kakitangan berkenaan telah dibawa meninjau pelbagai kemudahan TelBru dengan penjelasan ringkas yang disampaikan oleh kakitangan TelBru yang memfokuskan ke atas teknologi di sebalik perkhidmatan TelBru.

Pelajar-pelajar dari Sekolah Elektronik dan Teknologi Info Komunikasi, ITE College West berkenaan berada di negara ini di bawah Program Pendidikan Global ITE Singapura dengan perkongsian bersama IBTE dan merupakan lawatan pertama seumpamanya ke Brunei di bawah kurikulum tersebut.

Pensyarah yang mengiringi para pelajar berkenaan berkata bahawa lawatan mereka ke institusi seperti TelBru bermatlamat untuk meluaskan pandangan pelajar di luar bilik kelas dan mendedahkan mereka kepada amalan-amalan terbaik antarabangsa di pelbagai industri dengan harapan lawatan sedemikian akan dapat memupuk belia ‘Global Ready’.

Delegasi Singapura bergambar ramai bersama guru-guru IBTE di samping kakitangan TelBru.
Delegasi Singapura bergambar ramai bersama guru-guru IBTE di samping kakitangan TelBru.

Bangunan TelBru Sumbiling (dinamakan sebagai Sumbiling Telephone House) itu merupakan salah satu bangunan kemegahan TelBru yang merangkumi kebanyakan operasi-operasi teknikal dan stesen penyelenggaraan utama seperti kabel telefoni, penghubung jalur lebar, pusat kawalan teknologi maklumat (IT) dan penghubung-penghubung server.

Semasa lawatan itu juga, para pelajar berkesempatan meninjau beberapa unit pengendalian utama di TelBru seperti Sistem Transmisi, IP Core & Multimedia, Datacom dan Pusat Pengurusan Kerosakan.

Dibantu oleh kakitangan teknikal TelBru daripada setiap unit, penjelasan disampaikan kepada delegasi berkenaan mengenai proses semasa dan aliran kerja pelbagai operasi sistem dan penyelenggaraan.