TelBru dipuji

TelBru dipuji

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jun – Inisiatif ‘Change Starts with Me’ (Perubahan Bermula dengan Saya), untuk mengubah pemikiran tenaga kerja TelBru kepada pemikiran berorientasikan korporat telah mendapat pujian daripada para hakim ketika Kongres Asia HRD 2015 yang berlangsung di Dubai, Amiriah Arab Bersatu, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh TelBru, di sini, hari ini, jawatankuasa anugerah juga mengiktiraf sumbangan Pengurus Besar Sumber Tenaga TelBru, Innaci Dass kerana menjayakan inisiatif berkenaan yang telah membantu mewujudkan perubahan dalam yarikat.

Anugerah yang diterima adalah bagi Kategori ‘Sumbangan kepada Komuniti Sumber Tenaga’ diberikan kepada mereka yang telah menyumbangkan buah fikiran yang tinggi nilainya dan telah digunakan oleh para pengamal dan pertubuhan Sumber Tenaga kerana keberkesanannya.

Anugerah disampaikan oleh Bekas Menteri Kerja Raya, Bahrain, Jurutera Fahmi bin Al-Jowder.

Innaci, dalam kenyataan itu, dipetik sebagai berkata, ‘Change Starts with Me’ yang dimulakannya di TelBru dalam tahun 2013 adalah program dua hari yang melibatkan semua kakitangan TelBru, tanpa mengira kedudukan dan jawatan untuk menanamkan idea bahawa ‘TelBru tidak boleh melaksanakan urusan hari ini dengan kaedah semalam dan harapan untuk mencapai kejayaan hari esok’.

Kongres Asia HRD 2015 yang berlangsung di Dubai, Amiriah Arab Bersatu.
Kongres Asia HRD 2015 yang berlangsung di Dubai, Amiriah Arab Bersatu.

Menurutnya, TelBru telah melabur sejumlah besar wang untuk meningkatkan pembangunan modal insan dengan menyediakan pelbagai program latihan dalam syarikat dan kegiatan pembangunan bagi kakitangan di semua peringkat dalam bidang teknikal dan bukan teknikal.

Bidang penting lain yang diperkenalkan ialah untuk menghubungkan disiplin praktikal dengan kurikulum pendidikan tinggi, jelas beliau, TelBru telah memulakan subjek pembelajaran telekomunikasi di Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal (MTSSR).

Program itu dibentuk bersama oleh TelBru dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dengan pengembalian pertama bermula dalam bulan Januari 2015.

Kerjasama seterusnya yang sedang dirancang dengan institusi pendidikan tinggi yang lain di negara ini termasuklah Universiti Brunei Darussalam, Institut Teknologi Brunei dan Politeknik Brunei.

Satu lagi perkembangan penting di TelBru ialah Program Pembangunan Bakat Muda (Pelatih Pengurusan), yang merupakan latihan intensif selama empat bulan untuk graduan-graduan muda dari pelbagai disiplin dengan tujuan membangunkan mereka menjadi pemimpin masa hadapan di TelBru.

Kurikulum meliputi kemahiran pengurusan, kepimpinan dan pengetahuan telekomunikasi, dan ia bukan hanya terbatas dalam sesi kelas, yang mana ia termasuk tugasan, kajian kes, membaca buku dan analisis kritis.

Menurut kenyataan itu, Anugerah Asia HRD, yang kali pertama dilancarkan dalam tahun 2003, adalah inisiatif berasingan yang dibentuk untuk mengiktiraf pertubuhan dan individu-individu yang usahanya telah memberi impak kepada komuniti sumber tenaga dan masyarakat secara keseluruhannya.

ARTIKEL YANG SAMA