TelBru FT dahului SEWIRA FC

TelBru FT dahului SEWIRA FC

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Feb – Perlawanan dua pasukan terbawah Kumpulan B, Liga Bolasepak Daerah Brunei & Muara yang pada awalnya kelihatan berat sebelah menjadi seimbang dan menarik di sepertiga terakhir masa perlawanan dengan keputusan muktamad TelBru FT menang 5-3 ke atas SEWIRA FC.

Dengan kedudukan dua tempat teratas sudah sah dalam genggaman Al-Idrus Junior (15 mata) dan Seri Bolkiah (10 mata), perlawanan malam tadi walau sekadar pelengkap jadual, tetapi masih penting buat kedua-dua pasukan bagi mengelak berada di tangga tercorot kumpulan.

Perlawanan di Kompleks Sukan Sungai Kebun itu menyaksikan TelBru FT selesa mendahului 3-0 sehingga rehat menerusi dua jaringan Abdul Rahim bin Abdullah pada minit ke-9 dan 37, sementara satu gol lagi dihasilkan Mohd Boolkie Didi bin Ahdi di antara dua gol Abdul Rahim iaitu pada minit ke-22.

Mohd Syahmi bin Awang Othman menambah selesa pendahuluan TelBru FT kepada 4-0 sebelas minit selepas rehat iaitu pada minit ke-56.

TelBru FT menamatkan kempennya dengan catatan kemenangan tunggal dalam Kumpulan B 5-3 ke atas SEWIRA FC.
TelBru FT menamatkan kempennya dengan catatan kemenangan tunggal dalam Kumpulan B 5-3 ke atas SEWIRA FC.

SEWIRA FC mula menghidu peluang mengejar apabila pengadil, Pengiran Azman bin Pengiran Badarudin tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti kepada mereka akibat kekasaran pemain TelBru FT menjatuhkan pemain mereka dalam kotak penalti, yang berjaya disempurnakan oleh Mohd Norsham bin Haji Metussin untuk kedudukan berubah menjadi 1-4.

Suntikan semangat mengejar pemain SEWIRA FC semakin berkobar apabila kedudukan semakin hampir, menjadi 2-4, menerusi ledakan jaringan Nur Adi Zulhilmi bin Awang Juffer pada minit ke-75.

Sepuluh minit kemudian perlawanan menjadi semakin menarik setelah kedudukan menjadi semakin dekat iaitu 3-4 dengan penghasilan gol ketiga SEWIRA FC yang dijaringkan oleh Ahmad Firdaus bin Abdullah.

Semangat kebangkitan SEWIRA FC terus membara dengan jaringan itu sehingga menjadikan lima minit terakhir perlawanan berlangsung lebih menarik dengan dua pendekatan berbeza, SEWIRA FC ghairah mencari gol manakala TelBru FT cuba bertahan dengan berkubu di kawasan sendiri mempertahankan kedudukan.

Namun TelBru FT tidak membiarkan momentum SEWIRA FC berterusan apabila Mohd Boolkie Didi mendapat gol kedua peribadinya pada minit masa kecederaan iaitu minit ke-90+2 untuk menjarakkan semula kedudukan kepada 5-3, sekaligus memadamkan api kebangkitan SEWIRA FC.

Perlawanan yang menjadi perlawanan terakhir Kumpulan B itu tidak merubah kedudukan kumpulan, hanya memastikan TelBru FT kekal menghuni tangga kelima dengan empat mata dan SEWIRA FC tempat terbawah dengan satu mata.

Di atas mereka ialah Savilla FC di kedudukan ketiga dengan lapan mata, dan Rainbow FC di tempat keempat dengan lima mata.

ARTIKEL YANG SAMA