TelBru, Hawa FT buka tirai Futsal Piala Perdana

TelBru, Hawa FT buka tirai Futsal Piala Perdana

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Ogos – TelBru yang ketinggalan 1-3 sedari minit ke-26 kepada Hawa FT menyelamatkan satu mata apabila berjaya menyumbat dua gol dalam tempoh dua minit untuk mengikat kedudukan 3-3, hanya empat minit sebelum perlawanan tamat.

Dalam perlawanan pertama Futsal Piala Perdana TelBru 2015 malam tadi, pasukan yang sering mencapai kejayaan dalam kejohanan futsal peringkat Daerah Belait, Hawa FT, menerajui perlawanan 2-0 ketika perlawanan baru berlangsung 11 minit.

Kedua-dua gol Hawa FT itu dijelmakan oleh pemain lincahnya, Md Farith, yang menggunakan gerakan solo menarik dan kepantasannya untuk mengelirukan dan menewaskan penjaga gol dan pertahanan TelBru, pada minit kelapan dan ke-11.

TelBru meniupkan semula harapan dengan jaringan pertamanya tiga minit sebelum separuh masa pertama berakhir menerusi rembatan Md Azmi. Kedudukan 2-1 memihak Hawa FT itu kekal sehingga babak pertama tamat.

Hanya enam minit selepas rehat, Md Haziq mengembalikan semula pendahuluan dua gol Hawa FT sekaligus merubah kedudukan perlawanan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu menjadi 3-1.

Md Admirul Fahmi (tengah) menjaringkan gol penyamaan TelBru pada minit ke-38 untuk mengikat Hawa FT, yang mendahului menerusi dua gol Md Farith (kanan).
Md Admirul Fahmi (tengah) menjaringkan gol penyamaan TelBru pada minit ke-38 untuk mengikat Hawa FT, yang mendahului menerusi dua gol Md Farith (kanan).

Di sebalik kejutan dibolosi lagi itu, TelBru kekal positif dan terus memberikan saingan untuk mendapatkan gol sekaligus mengurangkan defisit ketinggalan jaringan, yang akhirnya berjaya dihasilkan oleh Yassin pada minit ke-36.

Pada kedudukan 2-3, TelBru semakin bersemangat dan terus mengasak untuk menghasilkan gol penyamaan pula. Tekanan tinggi yang dilaksanakan ternyata berhasil menyebabkan Md Farith yang nampak keletihan tersilap hantar bola.

Dengan keputusan seri itu, kedua-dua pasukan kini berkongsi satu mata menerajui Kumpulan E bersama 12 Brothers SC dan DST FC.

ARTIKEL YANG SAMA