TelBru komited tangani isu teknikal

TelBru komited tangani isu teknikal

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Telekom Brunei Berhad (TelBru) komited bekerja 24 jam untuk menangani isu-isu sambungan Internet yang menjejaskan sejumlah pelanggan berikutan kesilapan teknikal yang berlaku lewat petang kelmarin.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya hari ini, TelBru menyeru pelanggannya untuk menghubungi talian Khidmat Pelanggan 111 untuk mendapatkan bantuan lanjut dan menggalakkan mereka untuk melayari laman Facebook TelBru di mana panduan terperinci telah disediakan untuk membantu mempercepatkan penyambungan semula Internet bagi pelanggan terjejas.

Menurut TelBru, kerosakan berkenaan disebabkan kesilapan teknikal ke atas beberapa ONT (modem).

Oleh sebab jumlah besar mereka yang terjejas, TelBru juga telah meningkatkan kapasiti sumber manusianya untuk menangani isu itu secepat mungkin bagi mengelakkan merumitkan lagi para pelanggan.

TelBru dalam kenyataannya turut meminta maaf atas kerumitan yang berlaku disebabkan kejadian berkenaan dan juga melahirkan penghargaan atas kesabaran para pelanggan sepanjang tempoh gangguan ini.