TelBru lancar Pameran SNEC

TelBru lancar Pameran SNEC

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Sebagai langkah seterusnya untuk menjadikan Brunei Darussalam sebagai sebuah negara berteknologi tinggi, TelBru telah melancarkan Pameran Pusat Pengalaman Negara Pintar (SNEC) di cawangan Giant, Rimba, pagi tadi.

Pameran bagi memberikan pengalaman baru kepada para pelanggan Telbru dan orang ramai untuk merasakan kemajuan teknologi menggunakan Internet telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TelBru, David Kay.

Bertujuan untuk memperkenalkan dan mendidik orang ramai mengenai pelbagai cara bagaimana peranti-peranti pintar boleh mengubah dan memberi kesan positif kepada kehidupan mereka dan meningkatkan ekonomi tempatan, pameran yang dibukakan kepada orang ramai itu akan memberikan pengunjung pengalaman yang mempunyai banyak penggunaan berpotensi termasuk, tetapi tidak terhad kepada, keselamatan, pengangkutan, kesihatan, perniagaan serta pendidikan.

Semasa menerangkan mengenai SNEC, Ketua Pegawai Pemasaran TelBru, Lim Ming Soon berkata, TelBru sebagai syarikat telekomunikasi utama di Brunei yang memikul tanggungjawab untuk memperkenalkan perubahan teknologi dalam negara, berhasrat untuk memastikan rakyat Brunei mengikuti perkembangan terkini dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang telah memberi kesan di beberapa buah negara paling maju di dunia.

Lim Ming Soon berkata, tidak diragukan lagi bahawa landskap ICT kita sedang berubah dengan lebih ramai orang masa kini, terutamanya generasi muda, berhubung ke Internet.

David Kay (kanan)  merasmikan Pameran Pusat Pengalaman ‘Negara Pintar’ yang berkonsepkan ‘Smart Home’ di TelBru cawangan Giant, Rimba.
David Kay (kanan) merasmikan Pameran Pusat Pengalaman ‘Negara Pintar’ yang berkonsepkan ‘Smart Home’ di TelBru cawangan Giant, Rimba.

Oleh itu, SNEC diharap dapat dijadikan platform dan memberi inspirasi kepada mereka untuk mempelbagaikan kemajuan infrastruktur ICT yang akan datang.

Selaras dengan cabaran-cabaran bukan kelaziman dalam abad ke-21 ini, TelBru percaya bahawa penyelesaian yang dibawakan menerusi Konsep ‘Negara Pintar’ ini dapat membantu menangani dan memudahkan perubahan yang diperlukan bagi Brunei bergerak ke hadapan.

Ujar beliau lagi, kemajuan yang mereka capai dalam ICT, yang dapat menyokong konsep berkenaan, akan dapat memperbaiki cara hidup kita dalam menangani bukan sahaja cabaran-cabaran tersebut malah menyediakan alat untuk memperbaiki kualiti kehidupan rakyat Brunei dan meningkatkan perkhidmatan awam termasuk kesihatan, pendidikan dan pengangkutan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan TelBru, sehingga April tahun depan, pameran SNEC itu akan memfokuskan ke atas Konsep ‘Rumah Pintar’ yang direka untuk menggambarkan kelengkapan-kelengkapan sebuah rumah daripada sofa hingga lampu meja yang disediakan oleh beberapa rakan swasta TelBru yang dijemput untuk menyertai pameran tersebut.

Sebagai sebahagian daripada pengalaman berkenaan, para pelanggan TelBru dan orang ramai boleh menyaksikan sendiri cara-cara membuka dan menutup lampu atau langsir dengan hanya menggunakan alat pintar mereka, dan seterusnya menunjukkan bagaimana amaran kecemasan pada peranti mereka berbunyi bila mengesan sesuatu seperti kemasukan pencuri, asap dan banyak lagi.

Melingkungi jalur lebar berkelajuan tinggi TelBru, pameran SNEC akan ditukar setiap enam bulan yang antara lain akan menampilkan Smart Security, Internet of Things dan Smart Entertainment.

Selain menampilkan pengalaman terbaik kepada orang ramai, senarai vendor yang mengikuti dan bekerjasama dengan TelBru dalam pameran SNEC juga dipaparkan untuk kemudahan orang ramai atau pelanggan untuk berhubung terus mengenainya.

Pelanggan-pelanggan juga boleh mendapatkan diskaun eksklusif setelah membuat pembelian yang berkaitan dengan ‘Negara Pintar’ yang ditawarkan oleh mana-mana syarikat yang bekerjasama dengan TelBru.

Di samping itu, pelanggan juga berpeluang menerima dua baucar tambah nilai 40GB apabila mereka membeli daripada vendor yang mengambil bahagian. Sementara itu, bagi pelanggan jalur lebar baru, mereka juga boleh mendapat diskaun $50 setelah mendaftar untuk perkhidmatan jalur lebar TelBru. Dengan terma dan syarat, kedua-dua promosi tersebut sah sehingga 31 Mac 2017.

ARTIKEL YANG SAMA