TelBru lancar ‘Pelan Wizard’

TelBru lancar ‘Pelan Wizard’

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Telekom Brunei Berhad (TelBru), baru-baru ini, telah melancarkan satu lagi inisiatif untuk memastikan pengguna memilih pelan yang sesuai bagi penggunaan Internet mereka, yang dinamakan sebagai ‘Pelan Wizard’.

Boleh diakses menerusi laman sesawang www.telbru.com.bn/planwizard, alat ini membolehkan pengguna mengira penggunaan data mereka berdasarkan pada anggaran untuk menentukan pelan mana yang paling sesuai bagi mereka.

Menurut kenyataan TelBru, hari ini, anggaran jumlah penggunaan berkenaan diperolehi dengan menjawab soalan-soalan, yang mana pengguna juga akan diberikan cadangan pelan jalur lebar yang sesuai.

Alat ini direka bagi pengguna berpotensi yang mungkin berminat untuk mencari pelan yang paling sesuai dan juga pelanggan sedia ada yang berhasrat untuk meningkatkan kelajuan jalur lebar mereka.

Ia direka dengan format yang sangat mudah dan mesra pengguna, di mana pengguna terlebih dahulu perlu memilih jenis jalur lebar (Home atau Business) kemudian menjawab soalan mengenai anggaran aktiviti-aktiviti harian dan mingguan.

Selepas menjawab semua soalan, anggaran penggunaan data pengguna akan diberikan di samping cadangan pelan yang sesuai.

ARTIKEL YANG SAMA