TelBru latih 19 graduan lagi

TelBru latih 19 graduan lagi

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Nov – Menerusi Program Pembangunan Bakat Muda yang diperkenalkan pada Julai 2013, TelBru telah melahirkan 42 individu yang berkelayakan menerusi kumpulan pertama dan kedua.

Kini, TelBru melatih 19 lagi graduan yang baru tamat pengajian dengan pelbagai latar belakang bagi kumpulan ketiga yang telah memulakan program latihan selama empat bulan bermula Ogos lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, program ini bermatlamat untuk membentuk graduan-graduan muda berkenaan untuk menjadi pemimpin di TelBru, dengan menekankan ke atas kemahiran dan pengetahuan perniagaan telekomunikasi.

Salah seorang calon, Awang Mohd Khairulanam bin Haji Osman yang mempunyai kelulusan BA dalam Politik dari University of Leicester berkata, program ini sangat unik kerana ia tidak memerlukan graduan daripada latar belakang tertentu, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk mempelajari sesuatu yang baru.

Awang Mohd Khairulanam salah seorang graduan yang mengikuti program latihan TelBru.
Awang Mohd Khairulanam salah seorang graduan yang mengikuti program latihan TelBru.

“Program ini telah melatih saya dan mempersiapkan saya untuk menjadi lebih efektif apabila tiba masanya saya ditetapkan ke dalam jawatan.

“Saya juga fikir bahawa pengetahuan mengenai perniagaan di mana anda bekerja adalah sangat penting dan program ini telah mengajar saya 360 darjah mengenai apa yang saya ketahui tentang TelBru sebelum saya kekal menjadi sebahagian daripada organisasi ini,” ujarnya.

Menurutnya lagi, sepanjang program berkenaan, beliau belajar mengenai alat-alat dan kemahiran perancangan yang tidak pernah dipelajarinya semasa di universiti, “jadi saya fikir ini akan berguna kepada saya pada masa depan”.

Seorang lagi calon, Dayang Syazwani binti Haji Yusof iaitu graduan dalam Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), turut mengongsikan pandangannya mengenai program tersebut.

Dayang Syazwani mengatakan program latihan itu merupakan inisiatif yang banyak memberi pengalaman kepada diri beliau.
Dayang Syazwani mengatakan program latihan itu merupakan inisiatif yang banyak memberi pengalaman kepada diri beliau.

“Secara peribadi, saya rasa program ini merupakan inisiatif yang sangat baik oleh TelBru kerana ia membantu kami memahami lebih lanjut mengenai organisasi sebelum mula bekerja.

“Apabila saya menyertai program ini, kebanyakan program latihan yang disediakan untuk kami merupakan pengalaman yang membuka mata kerana saya telah banyak belajar mengenai TelBru daripada hanya mengetahui mereka menyediakan Internet dan talian telefon,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, oleh sebab banyak permohonan diterima untuk menyertai program ini, TelBru kini sedang dalam promosi meneliti kumpulan keempat yang akan bermula pada pertengahan November.

Program ini merupakan salah satu program pembangunan yang direka sendiri oleh TelBru berasaskan amalan-amalan antarabangsa sebagai usaha berterusan mereka untuk membangunkan sumber-sumber manusianya yang penting untuk bergerak ke hadapan.

ARTIKEL YANG SAMA