TelBru perkenal techcare bantu pelanggan

TelBru perkenal techcare bantu pelanggan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Dalam usahanya berterusan mengimprovisasi pengalaman perkhidmatan pelanggannya, TelBru mewujudkan pelbagai saluran untuk membantu para pelanggan menangani masalah-masalah serta kebimbangan mereka berhubung produk dan perkhidmatan TelBru.

Dalam satu kenyataan hari ini, TelBru berkata, setakat ini, selain dari urusan pelanggan di cawangan-cawangan TelBru, ia juga menangani rungutan dan keperluan pelanggan menerusi pusat panggilannya di talian 111, media sosial dan bantuan online eCare.

Selain saluran-saluran tersebut, TelBru telah memperkenalkan satu ciri online baru dalam laman sesawangnya dipanggil techcare, yang diaktifkan secara langsung semalam.

Menurut TelBru, ‘techcare’ adalah laman pendidikan yang penuh dengan bimbingan dan maklumat berhubung perkhidmatan-perkhidmatan TelBru yang bertujuan membantu para pelanggan terutamanya tentang pertanyaan teknikal dan pada waktu yang sama, meningkatkan lagi pengetahuan para pelanggan.

Ciri-ciri utama ‘techcare’ termasuklah sesi Bual Langsung yang baru diusahakan dengan Pasukan Bantuan Teknikal TelBru, yang beroperasi setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 5 petang pada bulan Ramadan dan 7 pagi hingga 9 malam pada hari-hari biasa.

TelBru berkata, seorang juruteknik terlatih akan melayani pertanyaan para pelanggan, serupa dengan juruteknik melalui pusat panggilan. Selain itu para pelanggan masih boleh menghantar mesej selepas waktu-waktu operasi dan para pelanggan akan menerima jawapan melalui e-mel.

“Ciri-ciri utama lain laman itu adalah video bantu diri, yang boleh diperolehi dalam versi Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Video-video ini penuh dengan maklumat dan garis pandu visual berhubung menyelesaikan masalah dan penggunaan perkhidmatan kami. Para pelanggan juga boleh memilih untuk memuat turun panduan bantu diri untuk disimpan dengan selamat dan rujukan mudah.

“Satu lagi ciri laman ini termasuklah soalan-soalan yang lazim ditanya (FAQs), yang mudah dicari dengan menggunakan kata kunci. Ini akan menjimatkan masa pelanggan kami dan kekecewaan mencari melalui senarai FAQ yang akan terus menerus dikemas kini ketika muncul kebimbangan baru dalam kalangan para pelanggan.

“Kami faham bahawa tidak semua pelanggan ingin menghubungi dan bercakap dengan juruteknik, hari ini mereka lebih sukar menyelesaikan masalah mereka secara online dan ini akan membolehkan para pelanggan untuk berbuat demikian.

“Techcare akan membantu mewujudkan satu lagi pilihan bagi para pelanggan dan kami berhasrat mengembangkan lebih banyak kandungan dalam tempoh beberapa tahun untuk membantu generasi pelanggan baru dan yang sedia ada,” kata Pengurus Kanan TelBru, BuharieAmath.

Kesemua ciri tersebut, tambah beliau, akan mengimprovisasi pengalaman perkhidmatan pelanggan TelBru dan bermatlamat untuk menjadi laman sehenti bagi para pelanggan untuk mendapatkan jawatan secara online kepada mana-mana pertanyaan teknikal mereka berhubung perkhidmatan TelBru.

Untuk menggunakan ‘techcare’, para pelanggan boleh melayari www.telbru.com.bn/techcare

ARTIKEL YANG SAMA