TelBru, Politeknik Brunei meterai MoU

TelBru, Politeknik Brunei meterai MoU

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Feb – Seramai 26 pelajar Politeknik Brunei akan menjalani latihan kerja selama 12 bulan di Telekom Brunei Berhad (TelBru) menerusi Skim Latihan Perantisan.

Sehubungan itu, penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) bagi skim berkenaan telah diadakan hari ini di Grandstand 3, Pusat Equestrian, Royal Brunei Polo dan Riding Club, Jerudong, di sini.

Hadir menyaksikan penandatanganan selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman.

Menandatangani bagi pihak Politeknik Brunei ialah Pemangku Penolong Pengarahnya, Awang Alias bin Haji Abu Bakar manakala Ketua Pegawai Eksekutif, David Kay pula menandatangani bagi pihak TelBru.

Dalam ucapan alu-aluannya, Awang Alias bagi pihak pemangku pengarah menekankan bahawa kerjasama antara Politeknik Brunei dan TelBru itu diharap dapat menyediakan platform kepada pelajar-pelajar dalam program telekomunikasi dan sistem kejuruteraan memperoleh pengalaman dan latihan industri yang akan membantu mereka lebih mudah mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan program di Politeknik Brunei.

Pertukaran dokumen perjanjian di antara Politeknik Brunei dan TelBru.
Pertukaran dokumen perjanjian di antara Politeknik Brunei dan TelBru.
Gambar ramai bersama 26 pelajar yang bakal terikat dengan TelBru.
Gambar ramai bersama 26 pelajar yang bakal terikat dengan TelBru.

Inisiatif ini, katanya lagi, adalah selaras dengan wawasan Politeknik Brunei untuk menjadi sebuah politeknik yang bereputasi mampu melahirkan graduan-graduan berinovatif, berkemahiran dan boleh dipasarkan.

“Kami yakin bahawa kerjasama dengan TelBru, yang merupakan sebuah syarikat telekomunikasi ulung yang telah lama bertapak di Brunei Darussalam, akan membolehkan Politeknik Brunei mengintegrasikan amalan-amalan terbaik dan keperluan industri ke dalam kurikulum institusi yang akan memastikan bahawa latihan yang disediakan berkaitan dengan keperluan industri,” ujarnya.

Sementara itu, David Kay pula berkata, kerjasama ini merupakan satu gambaran komitmen berterusan TelBru untuk bekerjasama rapat dengan institusi-institusi pengajian tinggi di negara ini dengan menawarkan amalan-amalan terbaik industri dan pendedahan menerusi perkongsian sumber-sumber pengajaran dan penempatan kerja.

“Peluang untuk bekerjasama dengan Politeknik dalam membangunkan modul-modul telekom yang sesuai dan perkongsian sumber-sumber pengajaran akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Politeknik akan mempunyai pemahaman yang lebih baik mengenai permintaan industri justeru itu akan menyediakan pelajar mereka dengan kemahiran yang betul, manakala majikan seperti kita akan tahu di mana untuk mencari sumber tenaga kerja yang sesuai untuk bekerja dengan kami,” katanya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, latihan pekerjaan itu merupakan sebahagian daripada program tiga tahun para pelajar berkenaan di mana menerusi latihan itu mereka berpeluang untuk memaksimumkan pengalaman pembelajaran mereka dan mengaplikasikan teori dalam persekitaran kerja sebenar.

Selain itu, mereka juga akan berpeluang untuk menjalinkan hubungan dengan pakar-pakar telekomunikasi di TelBru dan memperoleh perspektif baru mengenai industri.

Ia juga merupakan sebahagian daripada inisiatif TelBru untuk menyokong objektif-objektif kebangsaan mengenai pembangunan sumber manusia dan untuk menggalakkan belia-belia tempatan bekerja di sektor swasta selaras dengan Wawasan 2035.