TelBru promosi kesedaran HSE

TelBru promosi kesedaran HSE

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Nov – Sebagai inisiatif untuk menggalakkan kesedaran mengenai kesihatan, keselamatan dan persekitaran (HSE), Telekom Brunei Berhad (TelBru) telah mengadakan latihan pertolongan cemas selama dua hari.

Latihan yang dijalankan sebagai persediaan kakitangannya untuk menghadapi sebarang kemungkinan itu diadakan dengan kerjasama Pusat Kesihatan Jerudong Park (JPMC) dan disertai 13 orang kakitangannya.

Para peserta dari pelbagai jabatan TelBru itu diberi latihan Pertolongan Cemas Standard dengan bantuan pernafasan dewasa kardio pulmonari (CPR) dan latihan Automated External Defibrillation (AED).

Dalam latihan itu, mereka juga diajar kemahiran seperti CPR, menangani kes tercekik, pembalutan, memakaikan penganduh, mengangkat atau mengendalikan kecederaan untuk mengurangkan kerosakan dan kesakitan sehingga pasukan perubatan tiba.

Kakitangan TelBru yang menyertai latihan kebakaran di Tutong.
Kakitangan TelBru yang menyertai latihan kebakaran di Tutong.
Sesi rawatan pertolongan kecemasan semasa latihan dijalankan dengan kerjasama JPMC.
Sesi rawatan pertolongan kecemasan semasa latihan dijalankan dengan kerjasama JPMC.

Di samping itu, maklumat yang dikongsi melalui e-mel kepada kakitangan juga dikemaskinikan dari semasa ke semasa sebagai peringatan kepada mereka mengenai kepentingan keselamatan di dalam dan luar tempat kerja.

Pada 28 Oktober dan 2 November lalu, TelBru juga menjalankan latihan kebakaran untuk kakitangannya di Sungai Taring, Tutong, Seria, Mumong dan di Ibu Pejabat Kuala Belait untuk mendedahkan dan menyediakan kakitangan kepada prosedur pemindahan yang betul jika berlaku kebakaran.

ARTIKEL YANG SAMA