TelBru raikan kakitangan cemerlang

TelBru raikan kakitangan cemerlang

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jun – Telekom Brunei Berhad (TelBru) telah meraikan sebilangan kakitangannya atas prestasi cemerlang mereka sepanjang tahun dengan mengadakan majlis penghargaan dan penyampaian anugerah yang berlangsung di Hotel Radisson, di ibu negara, baru-baru ini.

Kakitangan dari divisyen rangkaian akses, teknologi dan operasi telah dialu-alukan oleh Ketua Pegawai Teknologi TelBru, Dr. Michael Mertsch.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh TelBru, hari ini, di majlis itu empat kakitangan telah menerima sijil penghargaan atas pencapaian mantap mereka sepanjang tahun lalu, yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TelBru, David Kay.

Para penerima berkenaan ialah Haji Mahadi bin Mohammad, yang merupakan penyelia teknikal selama 30 tahun, menerima Sijil Penghargaan bagi Pencapaian KPI Terbaik, dan Awang Abdul Rahman bin Haji Metali yang juga penyelia teknikal dari Kuala Belait dengan pengalaman selama 30 tahun, menerima Sijil Penghargaan bagi Penyelia Paling Komited.

Sementara itu, Haji Nizam bin Haji Dollah, penyelia teknikal di Gadong, menerima Sijil Penghargaan bagi Penyelia Paling Dihargai ‘Count on Me’, dengan pengalaman sebagai penyelia selama lima tahun.

Haji Mahadi menerima Sijil Penghargaan bagi Pencapaian KPI Terbaik.
Haji Mahadi menerima Sijil Penghargaan bagi Pencapaian KPI Terbaik.
Hajah Zauyah menerima Sijil Penghargaan bagi Komitmen dan Dedikasi dalam Operasi Rangkaian Akses.
Hajah Zauyah menerima Sijil Penghargaan bagi Komitmen dan Dedikasi dalam Operasi Rangkaian Akses.

Satu-satunya penerima perempuan, Hajah Zauyah binti Haji Jahat merupakan penyelia bagi pasukan sokongan dan telah berkhidmat dengan TelBru selama 27 tahun, yang mana bagi perkhidmatan cemerlangnya, beliau menerima Sijil Penghargaan bagi Komitmen dan Dedikasi dalam Operasi Rangkaian Akses.

David Kay dalam ucapan penghargaannya menekankan bahawa pasukan berkenaan telah membuat yang terbaik dalam prestasi tahun lalu, dan berkata mereka tidak sepatutnya berhenti di sini tetapi berusaha lagi untuk memberikan perkhidmatan cemerlang kepada pelanggan.

Majlis penghargaan itu juga bertujuan untuk mempromosikan kerjasama dalam kalangan kakitangan TelBru bagi mencapai hasil terbaik demi kebaikan pelanggan.

Majlis turut dihadiri oleh warga pengurusan kanan lain, pasukan penambah baikkan proses, para pengurusan dan penyelia teknikal syarikat berkenaan.