TelBru rasmi Pusat Pembelajaran

TelBru rasmi Pusat Pembelajaran

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Dalam usaha memberi kemahiran kepada kakitangannya ke arah perkhidmatan berkesan dan cemerlang, Telekom Brunei Berhad (TelBru) telah menubuhkan Pusat Pembelajaran TelBru di Bangunan TelBru, Kawasan Perindustrian Lambak Kanan, yang telah dirasmikan, hari ini.

Perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TelBru, David Kay yang menyatakan harapan supaya pusat berkenaan akan memberi kemahiran kepada kakitangan TelBru dalam usaha melengkapkan mereka dengan kemahiran yang boleh menjadi pelapis di masa akan datang.

Semasa temu bual bersama media di majlis itu, beliau seterusnya menjelaskan, penubuhan pusat ini adalah inisiatif dalam mencapai tenaga kerja yang cekap dan terlatih serta menyediakan kemajuan penuh dalam latihan telekomunikasi untuk pekerja dengan mendapat manfaat daripada kursus-kursus latihan terutama bagi mereka yang baru dilantik.

Keseluruhan premis ini adalah untuk mewujudkan persekitaran latihan untuk memajukan diri dan meningkatkan budaya pembelajaran.

Sementara itu, Pengurus Besar, Sumber-sumber Manusia TelBru, Innaci Dass pula menjelaskan, pusat ini merupakan salah satu pelaburan TelBru dalam melaksanakan pembangunan keupayaan organisasi dalam kalangan kakitangan bagi melahirkan tenaga kerja yang bermotivasi tinggi dan mewujudkan budaya prestasi tinggi dalam organisasi.

David Kay ketika merasmikan Pusat Pembelajaran TelBru di Bangunan TelBru.
David Kay ketika merasmikan Pusat Pembelajaran TelBru di Bangunan TelBru.
Bangunan Pusat Pembelajaran TelBru di Berakas.
Bangunan Pusat Pembelajaran TelBru di Berakas.
David Kay melihat lebih dekat lagi kemudahan yang terdapat di pusat berkenaan.
David Kay melihat lebih dekat lagi kemudahan yang terdapat di pusat berkenaan.

Beliau seterusnya menambah, seluruh bangunan ini ditukar menjadi pusat pembelajaran termasuk kaunter TelBru di mana kakitangan boleh menggunakannya sebagai Tempat Latihan Perkhidmatan Pelanggan.

Mengulas lanjut mengenai Bilik Virtual Blended Learning (VBL), Innaci Dass menjelaskan, ia merupakan bilik latihan pertama di negara ini yang dilengkapi dengan perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi ditambah dengan sistem teknologi multimedia terkini dan skrin sesentuh interaktif dengan sistem pengurusan bilik darjah.

“Di samping menjadi pusat pembelajaran utama yang eksklusif dalam menggalakkan pembangunan keupayaan, ia juga membangunkan organisasi ke arah kecemerlangan perkhidmatan seterusnya mewujudkan kecekapan operasi,” tambah beliau.

Pusat Pembelajaran TelBru baru ini dilengkapi dengan enam bilik latihan yang boleh menampung 100 kakitangan dalam satu masa di mana dua buah bilik di tingkat atas digunakan sebagai bilik latihan perkembangan.

Manakala dua bilik untuk latihan teknikal yang terletak di aras bawah itu dilengkapi dengan peralatan teknikal dan kabel untuk kegunaan latihan sementara sebuah daripada enam bilik ini digunakan sebagai makmal IT dan komputer untuk sistem latihan atau percubaan dan bilik yang lain digunakan sebagai bilik darjah VBL.

Pusat latihan ini turut menyediakan perpustakaan yang dilengkapi dengan pelbagai jenis buku termasuk telekomunikasi, pembangunan diri dan kepimpinan.

ARTIKEL YANG SAMA