TelBru taja futsal NFABD

TelBru taja futsal NFABD

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Julai– Telekom Brunei Berhad (TelBru) menjadi penaja rasmi Piala Perdana Futsal 2015 yang akan membuka tirai pada 9 Ogos nanti.

Majlis menandatangani perjanjian di antara TelBru dengan NFABD disempurnakan pagi ini di Bilik Persidangan NFABD House sambil disaksikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TelBru, Hajah Rosmahwati binti Haji Abdul Manaf.

Menandatangani bagi pihak NFABD ialah Timbalan Presidennya, Yang Dimuliakan Pehin Datu Inderasugara Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mohammad Yusof bin Abu Bakar dan Setiausaha Agungnya, Haji Muhd Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani.

Sementara menandatangani bagi pihak TelBru ialah Ketua Pegawai Pemasarannya, Awang Lim Ming Soon dan Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi TelBru, Haji Roslan bin Haji Othman.

Awang Lim menyatakan rasa berbesar hati TelBru menjalin hubungan dengan NFABD ke arah menyokong pembangunan futsal dan berharap kejohanan itu akan berjaya melahirkan pemain tempatan yang hebat.

Awg Lim (dua kanan) dan Timbalan Presiden NFABD (dua kiri) bertukar-tukar dokumen sambil disaksikan oleh Hajah Rosmawati dan Haji Roslan (kanan).
Awg Lim (dua kanan) dan Timbalan Presiden NFABD (dua kiri) bertukar-tukar dokumen sambil disaksikan oleh Hajah Rosmawati dan Haji Roslan (kanan).

Haji Roslan ketika ditemubual menjelaskan TelBru menaja kejohanan itu bagi memberi motivasi kepada pemain di samping memberikan sokongan ke arah mempertingkatkan lagi mutu futsal dan sebagai sumbangan badan bukan kerajaan untuk sukan di negara ini.

Haji Muhd Zamri dalam ucapannya berkata, majlis hari ini menjadi mercu tanda kerana buat pertama kali TelBru memberikan sokongan kepada kejohanan futsal anjuran NFABD yang kini digelar Piala Perdana Futsal TelBru 2015.

Beliau berharap TelBru akan terus menyokong NFABD dalam kejohanan futsal kerana ia mampu mempertingkatkan standard futsal dan seterusnya mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa untuk Brunei Darussalam.