TelBru Tanjung Bunut kini berwajah baru

TelBru Tanjung Bunut kini berwajah baru

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Julai – Berikutan beberapa bulan kerja-kerja pengubahsuaian sebagai langkah memodenkan bukan sahaja perkhidmatan malahan kemudahannya, TelBru cawangan Tanjung Bunut yang berwajah baru akan dibuka semula bermula esok.

Selepas ditutup pada April lalu, cawangan itu akan kembali memberikan kemudahan kepada penduduk sekitar kawasan berkenaan mendapatkan produk dan perkhidmatan TelBru dalam suasana selesa yang mengetengahkan reka bentuk kontemporari dengan sentuhan kesederhanaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, perkhidmatan yang boleh didapati di cawangan berkenaan termasuk pembayaran bil, langganan produk-produk dan perkhidmatan TelBru, malah di lokasi tertentu, pelanggan boleh melayari Internet secara percuma.

Suasana TelBru cawangan Tanjung Bunut yang kini berwajah baru.
Suasana TelBru cawangan Tanjung Bunut yang kini berwajah baru.

Cawangan Tanjung Bunut berkenaan merupakan salah satu daripada sembilan cawangan operasi TelBru, dengan enam cawangan yang terletak di lokasi strategik dan kawasan tumpuan Daerah Brunei dan Muara, dua di Kuala Belait, dan satu cawangan masing-masing di Tutong dan Temburong.

Terletak di Unit No. 8, Block C, Ground Floor, Tanjung Bunut Place Kampong Tanjong Bunut, Mukim Kilanas, cawangan berkenaan dibuka setiap Isnin hingga Sabtu dari pukul 8:15 pagi hingga 4 petang, kecuali Jumaat yang dibuka dari pukul 8 pagi hingga 11:30 pagi dan 2:30 petang hingga 4 petang.

ARTIKEL YANG SAMA