Telent buka POS di Kuala Lumpur

Telent buka POS di Kuala Lumpur

XIAMEN, China, 17 Ogos (Bernama) – Telent Out-door (Hong Kong) Technology Co Ltd yang berpangkalan di China, merancang menubuhkan tempat jualan runcit (POS) di Kuala Lumpur sebagai platform untuk meneroka pasaran lain di Asia Tenggara, menjelang suku ketiga tahun ini.

Menurut laporan Penyelidikan Pasaran Bebas, Telent yang mengkhususkan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasaran, pengurusan dan pengedaran jenama pakaian, kasut dan peralatan kegiatan lasak, berada di kedudukan kedua di China dalam pasaran kelengkapan kegiatan lasak dari segi nilai jualan runcit.

Pengarah Eksekutif kumpulan, Hui Tang Tat berkata bagi tahun kewangan berakhir 2014, syarikat mencatatkan pendapatan berjumlah RM575.5 juta dan keuntungan sebelum cukai RM144.8 juta di tengah-tengah pengembangan kapasiti pengeluaran.

“Tahun lepas, peratusan campuran jualan produk bagi pakaian dan kasut kegiatan lasak masing-masing mencatatkan 43.8 peratus dan 49.5 peratus manakala peralatan merekodkan 6.7 peratus,” katanya kepada pemberita selepas lawatan media ke kilang dan pejabat syarikat itu, di sini baru-baru ini.

Setakat Oktober 2014, Telent mempunyai 817 POS runcit dan 23 jaringan pengedar di seluruh China.

“Pasaran Malaysia adalah berdaya saing dan kehadiran kami di sana akan menawarkan kami platform dan peluang untuk berkembang di rantau ini. Mungkin dalam lima hingga 10 tahun akan datang kami boleh meneroka pasaran Asia lain kerana kami mahu jenama kami dikenali di peringkat global,” kata Hui.

Mengenai rancangan penyenaraian, Hui berkata kumpulan telah menghantar draf prospektus kepada Suruhanjaya Sekuriti menerusi firma yang diperbadankan di Bermuda.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan jumlah dana yang dianggar dapat diraih daripada tawaran awam permulaan (IPO).

Hui berkata 45 peratus akan diperuntukkan kepada jaringan pengedaran dan pengembangan POS runcit dengan 10 peratus untuk pengiklanan dan penjenamaan.

Baki akan diguna untuk memperkukuh penyelidikan dan pembangunan produk (10 peratus), modal kerja (25 peratus) dan perbelanjaan penyenaraian (10 peratus). IPO Telent akan membabitkan terbitan 103.39 juta saham baharu pada harga AS$0.10 setiap satu yang mewakili 14.2 peratus modal terbitan dan berbayarnya.

Berdasarkan draf propektus, sebanyak 30.62 juta saham ditawarkan untuk langganan kepada rakyat Malaysia manakala 72.77 juta diperuntukkan untuk langganan swasta kepada pelabur terpilih.

ARTIKEL YANG SAMA