Teliti analisis perkembangan MRA

Teliti analisis perkembangan MRA

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada wakil-wakil dari Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei, Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal dan agensi-agensi pelancongan, hari ini, telah hadir menyertai bengkel ‘National Workshop on Toolbox Development for Tourism Labour Divisions of Travel Agencies and Tour Operations’.

Bengkel yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun pagi tadi itu dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dengan kerjasama Williams Angliss Institute.

Jabatan Kemajuan Pelancongan dalam satu kenyataan berkata, bengkel ini adalah antara projek-projek susulan bagi Aturan Pengiktirafan Bersama (MRA) mengenai Profesional Pelancongan yang telah ditandatangani oleh ASEAN pada tahun 2009 supaya diadakan di kesemua negara anggota ASEAN. Perlaksanaan MRA-TP di rantau ini juga adalah sebagai mendokong inisiatif komuniti ASEAN.

William Angliss Institute telah mengadakan bengkel-bengkel serupa di negara-negara anggota ASEAN termasuk Negara Brunei Darussalam iaitu ‘Housekeeping Front Office, Food and Beverage Servies and Food Production’ pada tahun 2012 and 2013.

Fasilitator bagi bengkel ini ialah Pengarah Projek, Wayne Crosbie dan Pegawai Projek dari William Angliss Institute, Danial Chee.

Bengkel ini juga bertujuan untuk memberikan maklumat lebih lanjut mengenai isu kandungan ‘toolboxes’ dalam bidang agensi dan operasi pelancongan yang mana setiap ‘toolbox’ mengandungi beberapa dokumen yang menerangkan piawaian kompetensi, manual pelatih, panduan jurulatih dan manual penilaian.

Selain itu, ia juga untuk mendapatkan maklum balas dan pandangan daripada agensi-agensi berkepentingan di samping menganalisis perkembangan MRA di setiap negara ASEAN untuk dilaporkan di Mesyuarat Jawatankuasa Pemerhati Profesional Pelancongan ASEAN pada Mac 2016 ini di Vietnam.

ARTIKEL YANG SAMA