Teliti urus dasar awam

Teliti urus dasar awam

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jan – Bidang Pengurusan dan Dasar Awam atau ‘State Craft’ merupakan satu bidang tugas yang harus dicermati dan ditanai dengan teliti seperti ‘menatang minyak yang penuh’, terutama dalam waktu negara berhadapan pelbagai cabaran dengan suasana serantau dan global yang tidak menentu.

Sehubungan itu, Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat menyeru warga kementeriannya agar sentiasa peka akan kepentingan sektor perhubungan terhadap pertumbuhan dan ketahanan ekonomi, membuka lagi peluang-peluang perdagangan dan pekerjaan ataupun ‘Creating Economic Space’ serta dapat mengalas kesan-kesan daripada kemiskinan.

Ke arah itu, katanya, Kementerian Perhubungan akan terus memberi fokus kepada penyediaan kemudahan dan perkhidmatan atau ‘Public Goods’ dalam bentuk pengangkutan dan ICT dan khidmat-khidmat perhubungan, khususnya bagi menggalakkan kelancaran perjalanan rakyat, barangan dan perkhidmatan.

Di samping itu juga, meningkatkan hubung selia atau ‘conncetivity’ baik di dalam negeri atau luar negara, terutama di tempat negara-negara yang mempunyai kepentingan perekonomian.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa berkata demikian semasa mempengerusikan Sesi Muzakarah bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Al-Mahabbah, di Kementerian Perhubungan, hari ini.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa semasa mempengerusikan muzakarah bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) kelmarin.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa semasa mempengerusikan muzakarah bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) kelmarin.
Antara ahli MMN yang menghadiri sesi muzakarah kelmarin.
Antara ahli MMN yang menghadiri sesi muzakarah kelmarin.

Sesi Muzakarah tersebut telah dihadiri oleh 14 orang ahli-ahli MMN yang diketuai oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Maharaja Kerna Dato Paduka Seri Haji Ya’akub bin Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Paduka Haji Zainal, serta ketua-ketua bahagian dan jabatan di kementerian berkenaan.

Menurut Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa, Kementerian Perhubungan juga mempunyai perancangan selaras dengan Wawasan 2035 untuk meningkatkan lagi taraf perkhidmatan melalui program pemodenan dan penaik taraf, program pemudah cara seperti penswastaan dan pengkorporatan, program perkembangan seperti kenderaan awam; program fokus pengguna dan sebagainya, sebagai salah satu strategi untuk memberi perkhidmatan kepada orang ramai.

Sementara itu, Setiausaha Tetap, di Kementerian Perhubungan, Haji Azhar bin Haji Ahmad semasa sesi muzakarah itu menjelaskan mengenai dengan Pelan Pelaksanaan Kementerian 2016 termasuk inisiatif utama dalam pengangkutan awam, keselamatan jalan raya dan liputan telefon mudah alih untuk kawasan-kawasan yang diwakili oleh ahli-ahli Yang Berhormat. Turut diberi perhatian semasa sesi muzakarah itu juga ialah perbincangan dan mengemas kini mengenai isu di bawah bidang kuasa kementerian itu terutamanya tentang isu-isu dalam MMN yang ke-10 pada tahun lepas dan isu-isu yang akan dibangkitkan pada tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA