Teman wanita pensyarah ditahan atas pembunuhan

Teman wanita pensyarah ditahan atas pembunuhan

HONG KONG, 15 April (AFP) – Teman wanita seorang pensyarah berbangsa Inggeris telah diberkas bersama dua orang lelaki berhubung pembunuhannya di selatan China, menurut polis China hari ini, dengan media tempatan melaporkan pensyarah itu telah dikerat-kerat selepas dia dibunuh.

Hilary Bower, 60 tahun, yang mengajar di sebuah universiti di Hong Kong dibunuh ekoran ‘pertikaian penuh emosi’, menurut polis tanah besar China, ketika laporan media memberi gambaran rumit tentang kisah cintanya yang melibatkan beberapa orang wanita.

Pensyarah bahasa Inggeris itu telah hilang lebih tiga minggu selepas kali terakhir dilihat pada 21 Mac di sempadan antara Hong Kong dan bandar selatan China, Shenzhen, yang dilaporkan tempat tinggalnya.

Polis Hong Kong berkata awal minggu ini bahawa Bower telah terbunuh di tanah besar, ‘mungkin’ dibunuh. Polis di Shenzhen mengesahkan hari ini bahawa dia telah dibunuh pada 22 Mac, sehari selepas dia dilaporkan hilang.

Wanita berusia 38 tahun dengan nama keluarganya, Xu dan dua orang lelaki ‘telah membunuh teman lelakinya warga asing, Hilary Bower ekoran perbalahan penuh emosi”, biro keselamatan awam Shenzhen berkata di akaun Weibo, iaitu akaun seperti Twitter. Menurutnya Bower dan Xu telah tinggal bersama selama 17 tahun.

Ketiga-tiga mereka itu telah diberkas pada 8 April lalu dan kes itu masih disiasat, tambahnya.

Media tempatan Hong Kong, dengan bersumberkan keselamatan awam melaporkan Xu telah menyerah diri kepada polis di bandar Dongguan, China pada 7 April, yang mana dia telah memberitahu para pegawai polis bahawa dia telah membunuh dan mengerat Bower dengan bantuan dua lelaki.

Biro keselamatan awam polis Dongguan tidak dapat mengesahkan butiran itu apabila dihubungi oleh AFP. Media tempatan melaporkan Bower mempunyai beberapa orang teman wanita di tanah besar China.

Seorang teman wanita, yang media melaporkan bernama Shi Xiumei, telah membuat laporan di stesen polis di Hong Kong pada 30 Mac tentang kehilangan Bower, menurut polis Hong Kong awal minggu ini.