Tembak doktor bedah, bunuh diri

Tembak doktor bedah, bunuh diri

SAINT PETERSBURG, 8 Sept – Seorang doktor bedah plastik Rusia maut hari ini selepas seorang pesakitnya merasa kecewa dengan hasil daripada beberapa pembedahan dan menembaknya mati, kemudian membunuh dirinya sendiri.

Pesakit berusia 34 tahun itu dikenali sebagai Yury Lebedev, menembak mati doktor bedah yang dinamakan media sebagai Alexander Remizov, di pejabatnya di hospital Russia Railways di bandar Saint Petersburg semalam, menurut penyiasat dalam satu kenyataan.

“Motif pembunuhan adalah ketidakgembiraan lelaki tersebut dengan beberapa pembedahan plastik yang dijalankan oleh hospital berkenaan,” menurut penyiasat.

Lebedev merasa marah berhubung hasil pembedahan hidung dan prosedur di telinganya, kata pendakwa kepada laman berita tempatan Fontanka.ru.

Remizov dilaporkan menyelia rawatannya namun tidak menjalankan pembedahan itu.

Lebedev menembak doktor bedah itu di dadanya dengan sepucuk senapang raifal, yang berjaya dibawanya masuk menerusi pengesan besi di pintu masuk yang telah ditutup, ketua doktor hospital berkenaan memberitahu kepada para wartawan, lapor Fontanka.ru.

Lebedev, yang sudah berkhidmat selama 10 tahun sebagai seorang pegawai kapal selam sebelum berpindah ke Saint Petersburg, mengalami kesukaran dengan kehidupan peribadinya yang disalahkannya atas penampilannya, lapor Fontanka.ru memetik rakannya. – AFP