Temburong permata tersembunyi di bumi Brunei Darussalam

Temburong permata tersembunyi di bumi Brunei Darussalam

Oleh Amri HTZ

 

Siri 1

MENYEBUT mengenai Daerah Temburong, setentunya akan terbayang sebuah daerah yang terpencil dan dikelilingi dengan hutan. Daerah yang secara keseluruhannya diliputi hutan hujan yang kaya dengan pelbagai spesies flora dan fauna, tanpa disedari, merupakan sebuah daerah yang boleh dianggap sebagai permata yang amat bernilai tersembunyi di bumi Brunei. Melihat ciri-ciri hutan yang kekal asli, menjadikannya satu tarikan yang sering diburu oleh para pelancong luar mahupun dalam negera untuk menyaksikan keindahan yang ditawarkan.

Baru-baru ini rombongan wakil media dijemput untuk menyaksikan dan mengalami sendiri keindahan yang terdapat di daerah ini. Melalui Kempen Destinasi Percutian Temburong yang dilancarkan pada September lepas oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, lawatan ini bertujuan untuk memperkenalkan Daerah Temburong kepada masyarakat umum sebagai pilihan destinasi pelancongan yang terdapat di dalam Negara Brunei Darussalam.

Pelbagai pakej-pakej menarik yang boleh didapati melalui agensi-agensi pelancongan yang terdapat di daerah ini. Pada lawatan ini, rombongan mengikuti pakej yang menawarkan percutian tiga hari dua malam bersama agensi pelancongan AZ Back 2 Nature dan Freme Adventure Lodge. Lawatan ini juga memberikan peluang kepada rombongan untuk melawat, melakukan aktiviti-aktiviti dalam program yang ditawarkan sekali gus menikmati keindahan flora dan fauna di Taman Negara Ulu Belalong.

Pengalaman menarik

Pengalaman menarik sudah pun bermula pada hari pertama ketika menaiki bot ekspres dari Bandar Seri Begawan menuju ke Daerah Temburong melalui sungai-sungai kecil untuk menuju ke destinasi. Dalam perjalanan, pelbagai teknik penangkapan ikan yang boleh dilihat sepanjang menelusuri Sungai Brunei yang digunakan oleh para nelayan seperti penggunaan jala, pancing dan penangkapan secara tradisional iaitu ‘tugu’. Selain itu keindahan kawasan tebing sungai yang dipenuhi pelbagai jenis pokok juga dapat dilihat selain daripada kapal-kapal batu yang membawa batu kelikir dari Daerah Temburong menuju ke Daerah Brunei dan Muara. Selain pemandangan Sungai Brunei, penulis juga dapat mengalami sendiri bagaimana perasaan penduduk Daerah Temburong berulang-alik ke Bandar Seri Begawan menggunakan bot ekspres yang telah diamalkan sejak dahulu lagi.

Pemandangan di Kompleks Utama Bumiputera Temburong, Pekan Bangar.
Pemandangan di Kompleks Utama Bumiputera Temburong, Pekan Bangar.
Penginapan ala perkemahan.
Penginapan ala perkemahan.
Bilik ibadat juga disediakan oleh agensi tersebut.
Bilik ibadat juga disediakan oleh agensi tersebut.
Pemandangan Kem AZ Back 2 Nature.
Pemandangan Kem AZ Back 2 Nature.

Pekan kecil

Setiba di Daerah Temburong, rombongan disambut mesra oleh pemandu pelancong AZ Back 2 Nature dan dibawa melawat di sekitar kawasan Pekan Bangar yang terletak berhampiran dengan tempat jeti pelabuhan bot ekspres. Walaupun kawasan pekan agak kecil dibandingkan daerah lainnya, tetapi kawasannya sangat bersih dan terjaga di daerah yang penuh kehijauan ini. Selain keindahan pekan yang kecil itu, ia juga mempunyai keunikan yang tersendiri di mana sesetengah peniaga di kedai-kedai di sekitar pekan itu menerima mata wang Ringgit Malaysia untuk melakukan pembelian barangan keperluan di kedai mereka.

Jeti Batang Duri

Setelah melakukan lawatan di sekitar kawasan Pekan Bangar, rombongan meneruskan perjalanan untuk menuju ke pondok jeti Batang Duri. Semasa dalam perjalanan menuju ke pondok jeti Batang Duri, pemandu pelancong memberikan sedikit penerangan mengenai tempat-tempat yang dilalui sebelum sampai ke tempat di mana rombongan akan dibawa ke tempat perkhemahan menggunakan perahu Temuai. Selain itu, rombongan juga dimaklumkan dengan kewujudan mini zoo yang terdapat di Batang Duri yang pada ketika ini melalui proses pengubahsuaian yang boleh dilihat berhampiran jalan utama. Lebih kurang dalam 20 minit perjalanan, rombongan sampai di pondok jeti Batang Duri dan mendengarkan sedikit penerangan mengenai keadaan sungai dan tip-tip keselamatan.

Perkhemahan AZ Back 2 Nature

Perjalanan menuju ke tempat perkhemahan menaiki perahu Temuai memberikan pengalaman menarik yang tidak dapat dilupakan. Menempuhi sungai dengan perahu yang mempunyai kelebaran lebih kurang 2.5 kaki dan 15 kaki panjang serta keadaan sungai yang tidak dapat dijangka kedalamannya, pemandu perahu yang begitu mahir mengawal pendikit enjin perahu berjaya menempuhi kawasan-kawasan berair cetek dengan mudahnya. Ketika melalui kawasan berair cetek, dapat dirasakan hentakan batu di dasar sungai mengenai bahagian bawah perut perahu memberikan gambaran akan kecetekan sesetengah kawasan sungai tersebut.

Penginapan ala rumah panjang tradisional.
Penginapan ala rumah panjang tradisional.
Kawasan luar Air Terjun Fish Spa.
Kawasan luar Air Terjun Fish Spa.
Keindahan Air Terjun Fish Spa.
Keindahan Air Terjun Fish Spa.

Setiba rombongan media di perkhemahan AZ Back 2 Nature, rombongan disambut dengan kemesraan dan diberikan penerangan mengenai kemudahan yang terdapat sekitar kawasan perkhemahan.

Rombongan juga dimaklumkan bahawa para pelancong yang datang diberikan kebebasan untuk bergerak di sekitar kawasan perkhemahan dan diberikan peluang untuk membuat pilihan tempat tidur sama ada tempat tidur ala perkhemahan atau rumah panjang. Setelah mendengarkan penerangan, rombongan kemudiannya dibawa melawat ke Air Terjun ‘Fish Spa’ menggunakan perahu menuju ke hulu sungai dari tempat perkhemahan.

Keindahan Air Terjun ‘Fish Spa’

Perjalanan selama lebih kurang lima minit menggunakan perahu dan tujuh minit berjalan kaki menuju ke air terjun tersebut amat menyeronokkan kerana sepanjang perjalanan pelancong bukan sahaja boleh melihat keadaan persekitaran seperti air sungai yang jernih, malahan kawasan hutan yang masih asli dapat menyejukkan mata para pelancong.

Pondok dua tingkat tempat makan dan bersantai di Kem AZ.
Pondok dua tingkat tempat makan dan bersantai di Kem AZ.
Jeti Kiangggeh.
Jeti Kiangggeh.
Terminal perahu Pekan Bangar.
Terminal perahu Pekan Bangar.

Semasa dalam perjalanan, rombongan juga berkesempatan melihat lebih kurang 13 buah sarang lebah liar pada sepohon pokok besar berdekatan dengan sungai dan yang mengejutkan, pemandu pelancong menyatakan lebah liar di kawasan perhutanan Temburong itu hanya bersarang pada pohon tertentu sahaja. Ini memberikan gambaran tentang pentingnya untuk memelihara flora dan fauna demi mengekalkan ekosistem semula jadi.

Selain sarang lebah, binatang-binatang liar hutan yang lain juga boleh ditemukan di hutan itu seperti cicak air, semut Gendang, semut Limpada, burung dan sebagainya yang agak menakjubkan bagi penulis kerana tidak menyangka bahawa hutan di negara ini juga terdapat flora dan fauna yang luar biasa yang hanya sebelum ini ditonton melalui kaca televisyen yang terdapat di luar negara.

Setibanya di Air Terjun ‘Fish Spa’, penulis terpegun melihat keadaan air terjun yang indah menjadikan hati tidak tertahan untuk mencuba sendiri ‘urutan ikan’ yang terkenal di kawasan taman negara itu. Deruan bunyi air dan pemandangan kawasan air terjun tersebut sudah cukup menenangkan hati dan minda para pelawatnya. Keadaan air yang jernih memudahkan pelancong melihat dengan lebih jelas keadaan dasar kolam air terjun yang bersih dengan ikan ‘spa’ berenang bebas menghampiri pelawatnya. Pertama kali merendamkan kaki dalam kolam tersebut, dapat disaksikan ikan ‘spa’ berebut-rebut ‘mengurut’ anggota badan yang direndamkan dan ‘urutan’ tersebut menimbulkan perasaan geli dan sebagainya yang setentunya membuatkan anda tertawa sendirian. Setelah puas menikmati kesejukan air dan urutan ikan semula jadi tersebut, rombongan kembali semula ke kawasan perkhemahan bagi mengikuti aktiviti seterusnya.