Temburong permata tersembunyi di bumi Brunei

Temburong permata tersembunyi di bumi Brunei

Siri 2

Oleh Amri HTZ

SETELAH puas menikmati kesejukan air dan urutan ikan semula jadi tersebut, rombongan dipelawa untuk melakukan aktiviti ‘Rubber Tubing’ menelusuri sungai untuk kembali ke tempat perkhemahan.

Aktiviti ‘Rubber Tubing’ menelusuri sungai karangan

Sebelum melakukan aktiviti tersebut, penerangan diberikan oleh pemandu pelancong mengenai cara mengawal tiub dan teknik mengawal anggota badan ketika melewati kawasan sungai yang berair cetek. Pengalaman pertama kali ini menjadikan sebahagian ahli rombongan berdebar-debar untuk melakukan aktiviti tersebut. Keadaan air yang sejuk ditambah dengan kederasan air sungai menghanyutkan dan menolak tiub ke hilir sungai begitu menyeronokkan sehingga timbul perasaan untuk mencuba lebih daripada sekali aktiviti tersebut.

Di kawasan sungai yang cetek dan berarus deras terutama di kawasan selekoh sungai memerlukan kemahiran mengawal tiub menggunakan kedua-dua tangan agar tidak terkena tebing sungai yang dipenuhi dengan batu-batu karangan dan akar-akar menjalar sekali gus menambahkan lagi cabaran menelusuri sungai untuk menuju ke kawasan perkhemahan. Selepas melakukan aktiviti tersebut, rombongan diberikan waktu untuk berehat untuk melakukan aktiviti seterusnya sebelum menikmati makan malam.

Salah seorang ketua agensi pelancongan AZ Back 2 Nature memberikan penerangan kepada rombongan.
Salah seorang ketua agensi pelancongan AZ Back 2 Nature memberikan penerangan kepada rombongan.
Aktiviti berkayak yang boleh dilakukan di kawasan perkhemahan AZ Back 2 Nature.
Aktiviti berkayak yang boleh dilakukan di kawasan perkhemahan AZ Back 2 Nature.
Salah seorang pemandu pelancong menunjukkan cara memasak ‘Lulun Manok’.
Salah seorang pemandu pelancong menunjukkan cara memasak ‘Lulun Manok’.
Penerangan daripada salah seorang pemandu pelancong mengenai cara mengawal ‘Rubber Tubing’.
Penerangan daripada salah seorang pemandu pelancong mengenai cara mengawal ‘Rubber Tubing’.
Sumpah-sumpah kelihatan ketika aktiviti ‘Night Walk’ dilakukan.
Sumpah-sumpah kelihatan ketika aktiviti ‘Night Walk’ dilakukan.
Jambatan Gantung Keruing yang terdapat di Ulu Temburong Nasional Park semasa perjalanan menuju ke platform kanopi.
Jambatan Gantung Keruing yang terdapat di Ulu Temburong Nasional Park semasa perjalanan menuju ke platform kanopi.

Platform kanopi yang tinggi memberikan cabaran pendakian kepada para pelancong.
Platform kanopi yang tinggi memberikan cabaran pendakian kepada para pelancong.
Pemandangan matahari terbit dari platform pertama kanopi.
Pemandangan matahari terbit dari platform pertama kanopi.
Rombongan ketika sampai ke Air Terjun No.2
Rombongan ketika sampai ke Air Terjun No.2
Keadaan air yang jernih di kolam Air Terjun No.2 .
Keadaan air yang jernih di kolam Air Terjun No.2 .

Aktiviti ‘Night Walk’ gambaran kehidupan hutan

Pada waktu malam selepas menjamu hidangan masakan ala kampung, rombongan kemudiannya dibawa untuk melakukan aktiviti ‘Night Walk’ di persekitaran kawasan perkhemahan. Bergerak perlahan menggunakan lampu suluh diketuai oleh pemandu pelancong, rombongan dapat menyaksikan pelbagai binatang liar yang aktif pada waktu malam seperti kumbang, labah-labah, katak beracun, sumpah-sumpah dan sebagainya. Selain itu, pemandu pelancong juga menerangkan pelbagai jenis tumbuhan daripada segi nama dan kegunaannya kepada orang-orang kampung.

Sekembali daripada melakukan aktiviti ‘Night Walk’ rombongan diberikan waktu untuk berehat dan menikmati suasana hutan yang tenang. Rombongan juga diberikan pilihan untuk mandi malam di sungai berhadapan tempat perkhemahan dengan pemantauan pemandu pelancong. Pengalaman mandi di sungai di waktu malam dengan duduk beralaskan balak terdampar memberikan lagi ‘perasaan kampung’ yang dicari-cari penulis.

Tepat jam 10:30 malam, mesin penjana kuasa dimatikan di kawasan perkhemahan menjadikan kawasan perkhemahan agak gelap dan sunyi. Hal ini juga merupakan satu pengalaman yang agak luar biasa bagi penulis kerana belum pernah merasa kehidupan orang-orang tua zaman dahulu ketika belum wujudnya kabel litar elektrik ke rumah-rumah yang dapat memberikan bekalan api elektrik pada bila-bila masa. Ketenangan waktu malam yang dipenuhi dengan bunyi unggas hutan, deruan air sungai dan sebagainya memberikan nikmat waktu rehat bagai para pelancong.

‘Canopy Walk’ uji mental dan fizikal

Seawal jam 4:30 pagi, para rombongan telah bersiap-sedia untuk melakukan aktiviti ‘Canopy Walk’. Perjalanan untuk sampai ke destinasi menggunakan perahu dan mendaki bukit menggunakan anak tangga memberikan anda cabaran mental dan fizikal. Sejumlah 998 anak tangga perlu ditempuhi dengan hanya terdapat empat buah pondok rehat bagi pelancong yang ingin menggunakannya untuk berehat sebentar. Keadaan anak tangga yang licin ditumbuhi alga memerlukan anda untuk berhati-hati ketika mendaki bukit yang agak curam untuk sampai ke destinasi.

Jika mendaki merupakan cabaran mental dan fizikal, cabaran seterusnya merupakan cabaran keberanian diri untuk mendaki platform kanopi. Bagi yang mempunyai masalah takut dengan ketinggian, inilah tempatnya untuk mencabar diri dan menghilangkan perasaan tersebut dengan menguatkan semangat semasa mendaki platform tersebut. Usaha pendakian kanopi akan terhasil apabila berjaya sampai ke puncak platform. Melalui puncak ini, anda boleh menyaksikan kawasan persekitaran hutan taman negara yang dipenuhi pokok menghijau, bukit-bukau, burung, buah-buahan liar dan yang terhebat, menyaksikan matahari terbit di dikelilingi dengan kicauan burung dan unggas hutan sekali gus melupakan ‘getaran badan’ ketika menaiki platform tersebut.

Keunikan Air Terjun ‘No.2’

Sekembali daripada melakukan aktiviti Canopy Walk, rombongan kemudian dipelawa untuk melakukan aktiviti seterusnya iaitu melawat ke Air Terjun No.2. Berbeza dengan Air Terjun ‘Fish Spa’, air terjun yang hanya dikenali dengan nama Air Terjun No.2 ini memberikan pengalaman menarik dan berlainan kepada pelancong.

Kawasan air terjun yang cantik merangkumi gua-gua kecil terhasil daripada proses air sungai memperlihatkan keunikan air terjun tersebut. Selain daripada kejernihan airnya dan dasar kolam yang dipenuhi bongkahan batu besar, kawasan air terjun yang tercipta dengan dinding batu dan akar pohon besar menjalar ke kolam air terjun tersebut juga menambahkan lagi keunikan air terjun tersebut. Ketika dalam aktiviti ini, rombongan dibenarkan untuk mandi di dalam kolam air terjun sambil menikmati suasana hutan. Selain itu, rombongan juga dibawa menerokai gua-gua kecil yang terdapat berhampiran kawasan tersebut dan menerangkan serba sedikit tumbuhan yang terdapat di tebing aliran air terjun tersebut. Selepas melakukan lawatan ini, rombongan sekali lagi diberikan peluang untuk melakukan aktiviti ‘Rubber Tubing’ untuk kembali ke tempat perkhemahan.

Aktiviti sekitar kawasan perkhemahan

Sebelum mengakhiri hari bersama agensi pelancongan AZ Back 2 Nature, rombongan juga diberikan kebebasan untuk memilih aktiviti-aktiviti yang terdapat di perkhemahan tersebut. Aktiviti seperti berkayak, ‘Rubber Tubing’, bersnorkel dan ‘rock skipping’ juga dilakukan di sungai berhadapan dengan kawasan perkhemahan yang menambahkan lagi keseronokan perkhemahan tersebut. Sebelum memulakan perjalanan menuju ke Freme Rainforest Lodge, rombongan juga diberi kesempatan untuk merasa ‘Lulun Manok’ (ayam yang dimasak menggunakan buluh terpilih) dan diterangkan mengenai dengan proses pembuatannya. Pada waktu tengah hari, rombongan kemudian berangkat ke Freme Adventure Lodge menggunakan perahu menuju ke hilir sungai dengan khidmat penghantaran yang diberikan oleh AZ Back 2 Nature.

ARTIKEL YANG SAMA