Tempah 12 pesawat Dreamliners

Tempah 12 pesawat Dreamliners

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Boeing dan China Southern Airlines memuktamadkan tempahan 12 pesawat 787-9 Dreamliners pada 12 Oktober bernilai AS$3.2 bilion, berdasarkan harga semasa.

Tempahan baharu ini memperkukuh kumpulan pesawat jarak jauh China Southern, kata Boeing dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif China Southern Airlines Tan Wangeng dalam satu kenyataan berkata 787 Dreamliners berkenaan membantu syarikat penerbangan yang berpangkalan di Guangzhou itu merealisasikan kejayaan awalnya dalam melaksanakan strategi pengantarabangsaannya dalam tempoh beberapa tahun lepas.

“Ia membolehkan operasi dan perkhidmatan kami lebih menarik kepada penumpang.

“Penambahan pesawat baharu 787-9 akan meningkatkan lagi keupayaan dan perkhidmatan kami bagi laluan jarak jauh,” katanya.

China Southern Airlines telah menempah 12 buah pesawat Dreamliners pada 12 Oktober.
China Southern Airlines telah menempah 12 buah pesawat Dreamliners pada 12 Oktober.

China Southern Airlines, pelanggan pertama China bagi 787, kini menggunakan 10 pesawat 787-8. Kapal terbang berkenaan membolehkan syarikat penerbangan kami melancarkan enam laluan baharu tanpa henti di seluruh dunia, menghubungkan Guangzhou ke London dan Rome di Eropah, Vancouver di Amerika Utara selain Perth, Auckland dan Christchurch di kawasan Oceania.

Ihssane Mounir, Naib Presiden Kanan, Jualan Timur Laut Asia, Boeing Commercial Airplanes berkata China Southern sudah lama menjadi pelanggan Boeing.

“Kami menghargai keyakinan mereka terhadap pesawat 787. 787-9 akan membantu syarikat penerbangan itu mencatat tahap kecekapan dan keuntungan baharu,” katanya.

Pesawat 787-9 melengkapkan dan meluaskan kecekapan barisan pesawat 787. Dengan fiuslaj sepanjang 6 meter (20 kaki) bagi 787-8, pesawat 787-9 mampu mengangkut lebih ramai penumpang dan kargo pada tahap prestasi persekitaran yang sama.

Seperti 787-8, 787-9 menawarkan manfaat ekonomi jet besar ke pasaran, dengan pengurangan penggunaan bahan api sebanyak 20 peratus selain pengurangan pelepasan asap sebanyak 20 peratus berbanding pesawat lain yang mempunyai saiz yang sama.

Pesawat 787-9 memanfaatkan reka bentuk berwawasan 787-8, menawarkan ciri-ciri mesra penumpang seperti tingkap besar, lampu LED moden, kelembapan yang lebih tinggi selain udara yang lebih bersih.

China Southern Airlines, syarikat penerbangan terbesar China dari segi jumlah pesawat, kini mengendalikan 700 pesawat, termasuk Boeing 787, 777, 747, 757 dan 737.

Menjelang 2020, syarikat penerbangan itu dijangkakan mempunyai kumpulan 1,000 pesawat dengan angka trafik penumpang melebihi 160 juta setahun. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA