Tempah pemeriksaan bagi kenderaan 7 tahun ke atas

Tempah pemeriksaan bagi kenderaan 7 tahun ke atas

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Perhubungan, memaklumkan orang ramai bahawa dalam usaha mengurangkan kesulitan serta memudahkan urusan mereka, perkhidmatan bagi pemeriksaan kenderaan persendirian tujuh tahun ke atas boleh dibuat melalui tempahan.

Menurut kenyataan JPD, orang ramai boleh membuat tempahan selewat-lewatnya tiga hari sebelum menjalankan pemeriksaan dengan menghubungi sama ada melalui talian 2448009 atau berurusan terus ke kaunter 2, pondok lorong pemeriksaan 6 dan 7, Pusat Pemeriksaan Kenderaan, JPD, Beribi, Gadong.

Kenyataan menjelaskan lagi bahawa waktu bagi membuat tempahan adalah dari jam 8 pagi hingga 12:30 tengah hari dan dari jam 1:45 petang hingga 4:15 petang.

Maklumat peribadi pemilik dan kenderaan yang hendak diperiksa akan dicatat oleh JPD dalam jadual yang disediakan dan seterusnya disenaraikan untuk membuat pemeriksaan pada tarikh dan masa yang ditempah.

Dalam hubungan itu juga, orang ramai dinasihatkan untuk datang 15 minit lebih awal sebelum waktu tempahan pemeriksaan.