Tempah teksi melalui aplikasi

Tempah teksi melalui aplikasi

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Orang ramai tidak lama lagi akan boleh membuat tempahan perkhidmatan teksi di negara ini dengan hanya menggunakan aplikasi peranti mudah alih di mana ia merupakan satu lagi usaha untuk menawarkan perkhidmatan teksi yang lebih efisien dan mesra pengguna.

Aplikasi peranti mudah alih itu diharap dapat dimajukan oleh syarikat pemaju aplikasi tempatan di mana ia bukan sahaja mempunyai kemudahan membuat tempahan teksi tetapi juga memuatkan pelbagai perkhidmatan lain.

Perancangan itu didedahkan oleh Pengarah Pengangkutan Darat, Dr. Haji Supry bin Haji Ladi semasa sidang media di Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Beribi, baru-baru ini.

Beliau menyatakan bahawa pengenalan aplikasi itu merupakan salah satu perancangan dalam meningkatkan lagi mutu perkhidmatan teksi negara serta sebahagian daripada projek transformasi sistem pengangkutan awam Negara Brunei Darussalam terutama sekali perkhidmatan bas awam dan teksi.

Dr. Haji Supry menjelaskan bahawa tawaran bagi memajukan atau menghasilkan aplikasi itu akan dilaksanakan pada masa akan datang dan berharap syarikat-syarikat pemaju aplikasi yang berminat terutama syarikat pemaju aplikasi tempatan akan merebut peluang untuk menghasilkan sebuah aplikasi yang bersesuaian serta mengikut peraturan yang ditetapkan oleh JPD.

Beliau menjelaskan lanjut bahawa syarikat-syarikat yang berminat boleh menghadapkan cadangan mereka kepada pihak JPD tetapi mereka harus bekerja rapat dengan pihak JPD dan mematuhi peraturan serta syarat-syarat yang ditetapkan.

Pengenalan perkhidmatan tempahan teksi menggunakan aplikasi peranti mudah alih itu akan memberikan satu lagi pilihan bagi memudahkan orang ramai termasuk pelancong ke Brunei untuk mendapatkan perkhidmatan teksi.

Di samping itu, pengenalan kadar tambang berstruktur yang setanding dan kompetitif dengan kadar-kadar tambang di negara-negara serantau, bukan sahaja memberikan pilihan kepada orang ramai mengenai perkhidmatan pengangkutan awam tetapi membantu menjana peluang-peluang kepada pengusaha teksi tempatan.

Menerusi usaha itu, bukan sahaja ia memberikan pilihan kepada orang ramai mengenai perkhidmatan pengangkutan awam tetapi membantu menjana peluang-peluang kepada pengusaha teksi tempatan.

Pembaharuan dan perancangan yang sedang dan bakal dilaksanakan mempunyai matlamat ke arah usaha untuk bukan sahaja menuju ke arah sistem pengangkutan awam yang lebih dikawal selia dan efisien tetapi lebih dinamik selaras dengan hasrat transformasi sistem pengangkutan awam Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA