Tempahan ‘baju raya’ kian rancak

Tempahan ‘baju raya’ kian rancak

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mei – Cabaran sebagai tukang jahit pakaian menjelang bulan Ramadan menjadi semakin mencabar berbanding hari-hari biasa kerana semua tempahan perlu disiapkan sebelum menjelang Syawal.

Walaupun pakaian yang sudah siap banyak dijual di pusat-pusat membeli-belah dan secara online, pakaian raya yang ditempah daripada tukang jahit terus menjadi pilihan kebanyakan umat Islam di negara ini kerana ia memenuhi cita rasa, lebih selesa dan kelihatan eksklusif.

Ada pula pelanggan yang menghantar tempahan pada saat-saat akhir iaitu pada awal atau pertengahan bulan Ramadan.

Seorang tukang jahit yang hanya mahu dikenali sebagai Siti di Serusop semasa tinjuan media hari ini berkata, tempahan saat akhir sukar ditolak bukan kerana wang tetapi kerana rasa kasihan terutama jika membabitkan pelanggan tetap.

“Pada masa yang sama timbul juga rasa bimbang takut-takut kalau tempahan tidak dapat disiapkan,” kata Siti.

pg11_160517_c

Baju-baju tempahan raya yang sudah siap dijahit.
Baju-baju tempahan raya yang sudah siap dijahit.

Itu adalah antara dilema yang dialami tukang jahit saban tahun setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri di mana ratusan tempahan perlu disiapkan beberapa bulan sebelum Ramadan.

“Ada juga kedai jahit yang sudah tidak menerima tempahan untuk baju raya pada awal bulan Mei kerana takut tempahan tidak dapat disiapkan dan kualiti jahitan tidak memuaskan hati pelanggan,” tambah Siti.

Berdasarkan pengalamannya sebelum ini, menurut Siti, “ada juga pelanggan yang merayu agar menerima tempahan mereka tetapi kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana bimbang pakaian tersebut lambat siap.”

Kebanyakan pakaian direka khas oleh beliau sendiri mengikut kehendak pelanggan yang kadang-kadang mempunyai cita rasa rekaan mahupun fabrik pilihan yang agak rumit.

Ketika ditanya mengenai fesyen baju yang ditempah pada tahun ini, baju Melayu lelaki untuk Hari Raya tahun ini lebih kepada gabungan dua warna ditambah dengan fesyen-fesyen potongan yang lebih menyerlahkan kemodenan.

Beliau juga menjelaskan, dalam memenuhi tempahan sepanjang bulan Ramadan dia mengakui konsentrasi ketika menjahit berbeza dengan musim biasa tetapi semuanya berjalan lancar dan memenuhi kehendak mereka.

“Dalam memastikan kepuasan pelanggan dipenuhi, semua kerja-kerja menjahit dan memotong tempahan dibuat lebih awal kerana pada bulan puasa badan mudah letih dan tumpuan sedikit sebanyak mudah terganggu,” tambahnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA