Tempahan dalam talian RB mantap

Tempahan dalam talian RB mantap

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jun – Amadeus dan Royal Brunei Airlines (RB) hari ini mengumumkan penambahan besar ke atas pengalaman tempahan dalam talian syarikat penerbangan itu dengan platform Amadeus e-Retail, yang digunakan secara meluas oleh syarikat penerbangan di seluruh dunia.

RB adalah syarikat penerbangan pertama di Asia Pasifik melaksanakan versi baru Amadeus e-Retail, yang memaparkan pengalaman dalam talian yang lebih mantap yang mematuhi sepenuhnya mandat kebolehsampaian Jabatan Pengangkutan (DOT) Amerika Syarikat.

Kandungan baru laman sesawang www.flyroyalbrunei.com akan memaparkan pelbagai perkhidmatan sampingan dan juga termasuk paparan baru Manage My Booking yang akan membolehkan para penumpang melihat dan mengemaskinikan maklumat tempahan mereka pada bila-bila masa.

Dengan tempahan melalui telefon mudah alih semakin pantas berbanding desktop (20 peratus dengan 2 peratus sepanjang enam bulan pertama 2014), RB turut memperkenalkan laman sesawang mudah alih baru yang dikuasakan oleh Amadeus Mobile Solutions yang membolehkan para pelanggan membuat dan mengakses tempahan penerbangan melalui peranti mudah alih mereka, pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Ketua Pegawai Komersil dan Perancangan, Royal Brunei Airlines, Karam Chand berkata, “Kami baru-baru ini meraikan ulang tahun ke-40 penerbangan, kejayaan yang signifikan yang memberi inspirasi kepada kami untuk terus memberikan khidmat lebih baik kepada para pelanggan.

Laman sesawang tempahan atas talian RB yang kini lebih canggih dan mudah diakses oleh para pelanggan.
Laman sesawang tempahan atas talian RB yang kini lebih canggih dan mudah diakses oleh para pelanggan.

“Perkongsian kami dengan Amadeus adalah amat penting dalam membantu menyalurkan pengalaman lebih mudah diakses kepada para pengembara dan pada masa yang sama meningkatkan perolehan melalui atas talian dan saluran jualan mudah alih. Kami sungguh gembira mengadakan perkongsian jangka panjang dengan Amadeus dan mempunyai keyakinan penuh dengan teknologi canggih mereka untuk membantu kami memenuhi harapan para pelanggan yang semakin celik digital.”

Amadeus e-Retail direka bentuk untuk secara signifikannya memantapkan lagi pengalaman para pelanggan setia dengan pengaturan lebih menarik dan mudah dilayari.

Selain itu, ruang antara muka pengguna baru direka bentuk menurut Web Content Accessibility Guidelines (WCAG) untuk menyokong syarikat penerbangan dalam usaha mereka mematuhi mandat kebolehsampaian US DOT.

Naib Presiden Eksekutif, Airline Commercial, Amadeus Asia Pasifik, Hazem Hussein berkata, “Amadeus berkongsi visi dengan Royal Brunei Airlines untuk menyampaikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada semua para pengembara, dan amat bangga kerana mereka terus memilih Amadeus sebagai rakan teknologi mereka.

“Kami menyokong sepenuhnya mandat DOT untuk membawa keboleh-sampaian yang lebih mantap kepada para pengembara dengan kekurangan keupayaan, dan teruja untuk menyampaikan Amadeus e-Retail baru kepada semua para pelanggan e-Retail RB, sebagai mematuhi mandat ini.

“Ini adalah sebahagian komitmen berterusan kami untuk dari semasa ke semasa meningkatkan penyelesaian kami bagi membolehkan pelanggan menerima teknologi paling terkedepan.”

Royal Brunei Airlines kali pertama melaksanakan Amadeus e-Retail pada 2012, bersama-sama dengan Amadeus Altéa Suite penuh dan penyelesaian Amadeus Flex Pricer.

ARTIKEL YANG SAMA