Tempahan helikopter M’sia dijangka meningkat

Tempahan helikopter M’sia dijangka meningkat

GEORGE TOWN, 4 Dis (Bernama) – Pengeluar helikopter terbesar dunia, Airbus Helicopters Malaysia Sdn Bhd menjangka tempahan daripada sektor minyak dan gas meningkat pada 2016, selepas menyusut sejak dua tahun lepas.

Pengarah Urusan Antoine Cazal berkata sektor minyak dan gas adalah pemacu utama ekonomi Malaysia dan kelembapan global menyebabkan pasaran tempatan perlahan.

Beliau berkata kejatuhan harga minyak menyebabkan penundaan beberapa serahan namun yakin pasaran akan kembali pulih tahun depan dan tempahan daripada sektor itu akan meningkat seiring pemulihan.

“Saya percaya pasaran akan melantun semula tahun depan dan permintaan terhadap helikopter akan meningkat terutama bagi syarikat minyak dan gas yang memerlukannya dalam eksplorasi laut dalam,” katanya kepada pemberita di luar Pameran Antarabangsa Maritim 2015, di sini hari ini.

Beliau berkata syarikat menyerahkan 12 helikopter pelbagai model kepada pelanggan dalam tempoh tiga tahun sehingga 2013, sebelum sektor itu mengalami kelembapan.

Cazal kekal optimis berhubung permintaan dalam jangka panjang dan pada masa ini syarikat sedang berbincang dengan beberapa pelanggan termasuk MHS Aviation Bhd, Weststar Aviation Services Sdn Bhd dan Awan Inspirasi Sdn Bhd mengenai tempahan berpotensi.

“Pesanan kami adalah 50:50 daripada segmen kerajaan dalam perkhidmatan ketenteraan seperti tentera udara dan tentera laut serta polis, manakala baki daripada segmen awam termasuk sektor minyak dan gas,” katanya.

Cazal berkata Kumpulan merancang memperkenalkan dua model helikopter baharu bagi menarik permintaan selepas sektor minyak dan gas pulih kelak.

Satu daripada model berkenaan direka bentuk terutamanya untuk sektor minyak dan gas namun boleh dikonfigurasikan bagi beberapa kegunaan lain dalam industri komersial, katanya.

Beliau juga berkata Kumpulan akan terus memperkukuh hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Subang Jaya yang pada masa ini menyediakan perkhidmatan untuk pasaran serantau seperti Indonesia, Filipina, Thailand, Myanmar dan Jepun.

“Selain hab MRO, kami juga menyediakan kursus latihan juruterbang, pusat melengkapi pesawat dan pusat sokongan pelanggan bagi menampung keperluan pelanggan kami di rantau ini dan tempat lain,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA