Tempahan pemeriksaan kenderaan 14 Disember ini

Tempahan pemeriksaan kenderaan 14 Disember ini

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Nov – Bermula 14 Disember ini, pemeriksaan kenderaan yang berusia tujuh tahun ke atas yang dipandu terus (walk in) ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) Beribi, Gadong, akan diberhentikan perkhidmatannya dan semua pemeriksaan kenderaan berkenaan hanyalah melalui tempahan sahaja.

Pengarah JPD, Dr. Haji Supry bin Haji Awang Ladi telah memaklumkan perkara ini semasa sidang media yang berlangsung di Ibu Pejabat JPD, hari ini.

Tambahnya, JPD bermula 16 November ini juga akan mengehadkan jumlah kenderaan persendirian yang dipandu terus ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan, kepada 70 buah kenderaan sehari pada hari-hari bekerja iaitu 40 buah untuk sesi pagi dan 30 buah untuk sesi petang.

“Orang ramai juga diingatkan pada 27 November ini, pemeriksaan secara pandu terus tidak akan diterima oleh JPD lagi, pemeriksaan kenderaan hanya dibukakan untuk tempahan saja,” jelasnya.

Beliau turut menjelaskan statistik sejak sistem tempahan ini diperkenalkan iaitu pada 4 Jun 2015 menunjukkan sebanyak 3,700 buah kenderaan diperiksa di Pusat Pemeriksaan Kenderaan, Beribi, yang mana pemeriksaan melalui tempahan menunjukkan peningkatan daripada 1,100 buah pada Jun hingga Ogos kepada 1,500 buah pada September hingga Oktober tahun ini.

Dr. Haji Supry menyeru orang ramai menggunakan sistem tempahan bagi pemeriksaan kenderaan yang lebih tujuh tahun ke atas.
Dr. Haji Supry menyeru orang ramai menggunakan sistem tempahan bagi pemeriksaan kenderaan yang lebih tujuh tahun ke atas.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 35 peratus pemeriksaan dibuat melalui sistem tempahan manakala 65 peratus lagi pemeriksaan masih dibuat secara pandu terus,” ujarnya.

Dr. Haji Supry berharap orang ramai dapat menyesuaikan diri dengan perubahan ini dan untuk lebih memudahkan lagi, JPD telah menyediakan dua talian untuk tempahan pemeriksaan iaitu 2448008 atau 2442009.

Selain itu, orang ramai juga boleh berurusan terus di Kaunter 2, Pondok Lorong Pemeriksaan 6 dan 7 pusat berkenaan dan waktu tempahan bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari dan pada sebelah petang bermula jam 1:45 hingga 4:15 petang.

Dengan adanya langkah yang dilaksanakan oleh JPD ini, ia dapat memastikan operasi pemeriksaan kenderaan di pusat ini dapat dikendalikan secara bersistematik dan teratur di samping memberi keselesaan kepada orang ramai.

Sehubungan itu, orang ramai turut diseru untuk membuat pemeriksaan kenderaan mereka sebulan lebih awal sebelum tarikh mansuh perjalanan kenderaan mereka dan tempoh ini hanya sah bagi pemeriksaan kenderaan yang dibuat di Pusat Pemeriksaan Kenderaan, JPD di Beribi sahaja.

Manakala bagi pemeriksaan kenderaan yang dibuat di Daerah Tutong dan Temburong, tempoh diberikan selama tiga bulan dari tarikh mansuh perjalanan kenderaan, ini adalah disebabkan di kedua-dua daerah itu, pemeriksaan dilaksanakan secara komputer berbanding di Daerah Brunei-Muara dan Daerah Belait, pemeriksaan di laksanakan secara manual.

Orang ramai yang membuat tempahan pemeriksaan kenderaan juga diingatkan untuk datang 15 minit awal bagi melancarkan proses pemeriksaan.

ARTIKEL YANG SAMA