Tempahan penerbangan ke Paris merosot

Tempahan penerbangan ke Paris merosot

LONDON, 24 Nov (AFP) – Tempahan penerbangan ke Paris, salah satu bandar raya paling dilawati di dunia menjunam dalam tempoh seminggu lalu susulan serangan yang mengorbankan 130 nyawa di Paris.

Tempahan ke Paris dari pelanggan penerbangan di seluruh dunia didapati menurun kepada 27 peratus bagi tempoh 14 hingga 21 November, berbanding minggu yang sama pada tahun 2014, demikian menurut data dikeluarkan firma maklumat penerbangan, ForwardKeys.

Ketua Eksekutifnya, Olivier Jager, berkata kemerosotan tempahan penerbangan itu berlaku kepada sektor pelancong/pengembara berbanding pelawat perniagaan atau mereka yang berkunjung untuk melawat keluarga atau rakan.

Seminggu selepas serangan di Paris pada 13 November, pembatalan tempahan meningkat kepada 21 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu, namun beberapa hari lalu ia agak stabil berbanding tempoh sama tahun lalu.

Perancis adalah negara paling ramai dikunjungi di dunia dengan Paris sahaja menerima 32.2 juta pelawat tahun lalu.

Syarikat penerbangan utama Air France dilaporkan mengalami penyusutan dalam trafik selepas kejadian serangan di Paris, namun menurut sumber syarikat itu ia masih terlalu awal untuk dibuat pengiraan.