Tempat warisan negara perlu dibaikpulih

Tempat warisan negara perlu dibaikpulih

SAYA dan mungkin jua rakyat Negara Brunei Darussalam ingin melihat agar beberapa bangunan dan struktur serta tempat yang patut dijadikan Warisan Negara, dipelihara dengan baik serta dibaikpulih untuk menjadi ristaan sepanjang zaman bagi kitani semua.

Juga sebagai rujukan dan makluman untuk pengetahuan generasi muda sekarang dan akan datang lebih-lebih lagi para belia yang merupakan aset penting dan bakal pemimpin masa depan negara. Antara struktur yang boleh dipertimbangkan untuk dipulihara ialah seperti Jambatan Rangas dan Jambatan Feri Kuala Tutong.

Jambatan Rangas atau juga dikenali sebagai ‘Clifford Bridge’ yang menyeberangi Sungai Kedayan (Batu satu) dan penghubung penting antara Bandar Brunei (kini Bandar Seri Begawan) dengan Batu 2 Jalan Tutong dan sekitarnya hinggalah ke Mukim KiIanas, Sengkurong dan lain-lain.

Jambatan ini mungkin dibina sekitar tahun 40an dan digunakan sebagai jambatan utama hingga tahun 1959 apabila jambatan baru dibina dan diberi nama Jambatan Edinburgh sempena lawatan YTM Duke of Edinburgh (suami Ratu Elizabeth II) pada tahun 1959.

Keadaan Jambatan Rangas ini amat menyedihkan dan daif. Agak malang bagi jambatan yang amat penting sejak tahun 40an hingga tahun 1959 dibiarkan begitu sahaja, tidak dipedulikan dan dipulihara dan hanya dijadikan sebagai tempat laluan paip air, kabel elektrik dan kabel telefon. Jasanya kepada negara dan rakyat Brunei termasuk VVIP dan VIP adalah tidak terkata.

Manakala Jambatan Feri Kuala Tutong dan Danau yang digunakan untuk orang-orang Brunei dari Daerah Belait, kawasan Telisai untuk ke Pekan Tutong dan Daerah Brunei-Muara, menyeberangi Sungai Tutong mulai tahun 50-an hinggalah tahun 1958/1959.

Apabila Jambatan Telamba (Telisai) dan Sengkarai siap dibina dan digunakan, penggunaan pangkalan feri itu diberhentikan. Adalah dirasakan penting bagi pembangunan negara dan dari segi ekonomi pada tahun 50an itu.

Jambatan-jambatan ini patut dijadikan warisan negara dan diperbaiki (dengan bentuk asalnya seperti pembinaan semula SMJA BSB) serta dipulihara. Ianya boleh dijadikan sebagai tempat bersejarah untuk dilawati oleh orang ramai dan pelancong-pelancong dari dalam dan luar negeri.

Diharap pihak-pihak berkenaan mengambil langkah kehadapan dan inisiatif terhadap syor saya ini. Belia Cinta Tanah Air

ARTIKEL YANG SAMA