Tempias Chan-Hom huru-harakan Brunei

Tempias Chan-Hom huru-harakan Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Julai – Kejadian hujan lebat berserta ribut yang berlaku di seluruh negara, dan mengakibatkan kegemparan, tengah hari ini adalah disebabkan oleh kesan sampingan daripada taufan Chan-Hom yang kini berada di 26.5 N 125.7 E, Utara Filipina.

Pemangku Pengarah Kaji cuaca, Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam, Awang Muhamad Husaini bin Aji berkata, tiupan angin maksima dicatatkan Stesen Pemerhatian Meteorologi (Meteorological Observation Station) di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei semasa kejadian itu ialah kira-kira 56 km sejam (28knots).

Perenggan badai (gust front) yang terbentuk beberapa kilometer sebelum hujan lebat yang berangin kencang telah menyebabkan angin kencang berkelajuan tinggi, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Berdasarkan Radar Pemerhatian Cuaca Doppler (DWSR), hujan lebat berangin kencang dilihat di pesisir barat Brunei sebelum memasuki kawasan daratan, pada kelajuan tinggi.

Ia mula-mula melanda Daerah Belait terlebih dahulu pada kira-kira 1425LT sebelum bergerak ke timur di empat-empat daerah.

Jabatan berkenaan telah mengeluarkan amaran-amaran cuaca dalam tempoh 24 jam tatkala menanti keadaan cuaca aktif yang dijangkakan akibat taufan berdekatan di rantau ini.

Amaran cuaca “Peringkat Jingga” pada 1320LT hari ini adalah yang kedua dikeluarkan berikutan satu lagi kejadian ribut kencang awal pagi tadi.

Menurut ramalan cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Pusat Amaran Taufan Bersama, Hawaii, Amerika Syarikat, Taufan Chan-Hom dijangka bergerak barat laut menuju Shanghai dalam beberapa hari ini, oleh yang demikian kesan tempias dan hujan lebat berangin kencang di negara ini dijangka akan berkurangan.

Bagaimanapun, terdapat kemungkinan bahawa satu lagi taufan aktif akan memberi kesan kepada cuaca di negara ini dengan hujan lebat berangin kencang sekali-skala dalam minggu akan datang.

Ketika monsun barat daya, pembentukan ribut tropika dan taufan di Lautan Pasifik meningkat dan ia biasanya melalui Filipina atau Laut China Selatan. Ini selalunya mengakibatkan hujan lebat berserta angin kencang, yang biasa berlaku ketika Monsun Barat Daya.

Berikutan daripada situasi ini, Awang Muhamad Husaini menasihatkan orang ramai, para pemandu dan terutamanya pelaut supaya mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Beliau turut menggesa orang ramai untuk mendapatkan maklumat kemas kini bagi sebarang nasihat dan amaran cuaca daripada RTB dan menerusi laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti akaun Facebook (Brunei Darussalam Meteorological Department).

Menurutnya lagi, pihak mereka akan terus memerhatikan keadaan cuaca dan mengeluarkan nasihat atau amaran cuaca yang sesuai apabila perlu berdasarkan Prosedur Operasi Standard Mereka.

Bagi kemas kini cuaca terkini, orang ramai juga boleh menghubungi peramal kaji cuaca bertugas di Talian Cuaca 114 atau 2345567.

ARTIKEL YANG SAMA