Tempoh 90 hari atasi masalah

Tempoh 90 hari atasi masalah

BANGKOK, 21 Julai – Masalah industri penerbangan Thailand dicetuskan oleh audit Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pada Januari yang menemui jurang yang serius dalam standard keselamatan.

Kumpulan audit ICAO mendapati kelonggaran penguatkuasaan kod keselamatan termasuk manual kapal terbang yang hilang dan kekurangan pengawasan oleh pegawai dalam mengeluarkan lesen kepada beberapa syarikat penerbangan tambang murah, menurut satu sumber dalam sektor penerbangan Thai yang meminta namanya tidak disiarkan.

Sebagai sebahagian daripada audit, badan pengawasan itu memberikan kerajaan Thailand 90 hari untuk mengatasi masalah itu atau berdepan dengan penurunan gred keselamatan penerbangan yang bermakna pengharaman ke atas laluan baru untuk semua syarikat penerbangan yang berdaftar di negara tersebut.

Meskipun rombakan dalaman oleh Menteri Pengangkutan, Prajin Juntong, ICAO secara rasmi telah memberi amaran kepada Jabatan Penerbangan Awam Thailand pada Jun.

Negara-negara termasuk Korea Selatan, Jepun dan Indonesia telah mengenakan sekatan sebagai respons kepada kad merah ICAO, sekali gus menghentikan laluan baru dan membatas laluan sekarang.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat menjalankan auditnya sendiri ke atas industri penerbangan Thailand pada Julai dan memberikan kerajaan 65 hari untuk mengatasi isu keselamatan atau menghadapi sekatan. – dpa

ARTIKEL YANG SAMA