Tempoh diberi hingga Ahad

Tempoh diberi hingga Ahad

BRUSSELS, 8 Julai (AFP) – Pemimpin Eropah memberikan Greece tarikh akhir muktamad pada Ahad untuk mencapai satu perjanjian jaminan keluar baru dan mengelak disingkir daripada euro, setelah pengundi Greece menolak pelan pemiutang antarabangsa dalam referendum pada hujung minggu.

Dalam langkah pertama usaha pembiayaan barunya, kerajaan Greece mesti menghantar pelan pembaharuan terperinci esok, kata Presiden Kesatuan Eropah (EU) Donald Tusk selepas pemimpin zon euro mengadakan sidang kemuncak tergempar dengan Perdana Menteri Greece Alexis Tsipras.

Kesemua 28 pemimpin Kesatuan Eropah seterusnya akan mengkaji pelan tersebut pada Ahad dalam sidang kemuncak, sama ada akan menyelamatkan ekonomi lembap Greece atau meninggalkannya kepada takdir.

“Malam ini saya perlu berkata secara lantang dan jelas, tarikh akhir berakhir pada minggu ini,” beritahu Tusk pada persidangan akhbar.

“Kegagalan mencapai satu persetujuan mungkin membawa kepada kemuflisan Greece dan ketidakmampuan membayar sistem perbankannya,” tambah beliau.

Presiden Suruhanjaya Eropah Jean-Claude Juncker mengingatkan “kami mempunyai senario Grexit yang disediakan secara terperinci” jika Greece gagal mencapai satu perjanjian, walaupun beliau menegaskan beliau mahu Athens kekal dalam kelab euro.

Sementara itu, Canselor Jerman Angela Merkel mengingatkan Greece memerlukan program hutang yang mengambil “beberapa tahun” dan menegaskan penghapusan mana-mana bebanan hutang Greece berjumlah 320 bilion euro adalah tidak mungkin.

Tarikh akhir keluar selepas Tsipras dan menteri kewangan baru Euclid Tsakalotos berkunjung ke Brussels untuk membincang kesan sampingan dramatik referendum.

Penduduk Greece mengundi sebanyak 61 peratus untuk menolak permintaan pemiutang untuk melancarkan lebih banyak langkah berjimat cermat sebagai tukaran kepada dana jaminan keluar EU-IMF.

ARTIKEL YANG SAMA