Temui Anak Kuat Brunei

Temui Anak Kuat Brunei

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 3 Mac – Orang ramai terutama sekali penduduk di daerah ini, akan berpeluang menyaksikan pertunjukan ‘Anak Kuat Brunei’ yang akan diadakan di kawasan laluan pintu utama Pusat Membeli-belah KBSentral pada 5 dan 6 Mac ini.

Anak Kuat Brunei, Awang Aiman Mujibur yang sudah terkenal dengan kekuatan tenaganya, biarpun masih berusia lapan tahun telah berjaya menunjukkan kemampuan menarik sebuah bas dalam pertunjukan yang dilakukannya di kawasan Stesen Bas Seria baru-baru ini.

Awang Aiman juga pernah menarik sebuah kereta salon jenis Avanza milik ayahnya sejauh kira-kira 100 meter di kawasan Kampung Panaga Seria, semasa berusia tujuh tahun.

Manakala itu, pada pertunjukannya di KBSentral nanti, beliau dijangka akan menarik dua buah kereta dalam masa yang sama, sejauh kira-kira 50 meter.

Awang Aiman Mujibur yang akan membuat pertunjukan menarik dua buah kereta dalam di kawasan KBSentral minggu ini.
Awang Aiman Mujibur yang akan membuat pertunjukan menarik dua buah kereta dalam di kawasan KBSentral minggu ini.

Penganjur acara, KBSentral mengalu-alukan orang ramai supaya tidak melepaskan peluang memberikan sokongan menyaksikan pertunjukan itu nanti.

Awang Aiman Mujibur yang mendapat sokongan moral dan mental daripada kedua ibu bapanya pada masa ini juga sedang menyiapkan diri untuk membuat pertunjukan mencabar iaitu menarik sebuah helikopter dalam program yang dinamakan Brunei ASEAN Nombor Satu yang dijangka akan diadakan di negeri jiran Miri, Sarawak.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pertunjukan tersebut, orang ramai boleh menghubungi talian 3339889 atau e-mel kepada kbsentralmarketing@gmail.com

ARTIKEL YANG SAMA