Temui hidayah hidup

Temui hidayah hidup

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 April – Dorongan daripada rakan-rakan beragama Islam sejak di bangku sekolah telah membuka hati seorang anggota polis untuk melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis yang berlangsung di Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, hari ini.

Awang Haddy Edmond anak Munsu, 24, yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik, berasal dari Temburong, itu memeluk agama Islam bersama sepupu beliau yang juga seorang anggota polis, Dayang Normizie anak Bajing, 27, dan dua anaknya, iaitu Norhidayatul Fitri binti Lingga, 3, dan Harris Jorden anak Lingga yang berumur dua tahun.

Awang Haddy Edmond memilih nama Muhammad Adi Najwan Farhan bin Abdullah Munsu sebagai nama Islamnya sementara Dayang Normizie memilih nama Islamnya sebagai Nuur Azyan Nabilah binti Abdullah Bajing, dan Dayang Norhidayatul Fitri kini dikenali sebagai Norhidayatul Fitri binti Abdullah Lingga dan Awang Harris Jorden sebagai Harris Hakimi.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pengislaman itu ialah Pemangku Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam serta isteri.

Dayang Nuur Azyan Nabilah (dua kiri), Dayang Norhidayatul Fitri, Awang Harris Hakimi dan Awang Muhammad Adi Najwan Farhan pada majlis pengislaman.
Dayang Nuur Azyan Nabilah (dua kiri), Dayang Norhidayatul Fitri, Awang Harris Hakimi dan Awang Muhammad Adi Najwan Farhan pada majlis pengislaman.

Turut hadir ialah para pegawai Pasukan Polis Diraja Brunei dan Pusat Dakwah Islamiah yang mengendalikan upacara pengislaman keempat-empat saudara baru itu.

Acara dimulakan dengan Solat Sunat Hajat berjemaah sejurus selepas ketibaan tetamu kehormat yang diimamkan oleh imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong.

Sejurus kemudian, diadakan penyampaian cenderahati yang disempurnakan oleh tetamu kehormat saudara-saudara baru sebelum diraikan dengan Dikir Marhaban dan upacara menabur bunga rampai yang dimulakan oleh tetamu kehormat.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

ARTIKEL YANG SAMA