Temui mayat mangsa sang buaya

Temui mayat mangsa sang buaya

BELURAN, 30 Jun (Bernama) – Mayat seorang lelaki tanpa tangan dan kaki dipercayai dibaham buaya ditemukan terapung di Sungai Paitan di Kampung Kabuluh di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Beluran Supt Sivanathan Velautham berkata mangsa dikenali sebagai Ramsah Alau, 57, dan mayatnya ditemukan pada kira-kira 7.40 pagi oleh penduduk kampung kira-kira tiga kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang semalam.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pitas untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi Bernama sambil menambah semalam anak perempuan mangsa melaporkan bapanya keluar rumah pada pukul 9 pagi semalam untuk menebas rumput di kawasan kebun berhampiran rumah lama mereka di kampung itu.

Bagaimanapun, katanya sehingga pukul 3 petang, mangsa belum balik ke rumah dan anak perempuan itu meminta bantuan penduduk kampung mencari bapanya sambil menambah penduduk kampung kemudian menemukan selipar berwarna biru dan topi putih milik Ramsah di tebing sungai berhampiran kebunnya.