Temui pakar akuaponik Taiwan

Temui pakar akuaponik Taiwan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Nov – Salah satu acara yang dinanti-nantikan semasa Promosi PKS LiveWIRE ke-7 yang akan diadakan di Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC), Seria bermula 27 hingga 29 November nanti adalah Sesi Forum dan Dialog yang membincangkan mengenai Sistem Hidroponik dan Akuaponik yang disampaikan oleh penceramah jemputan, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Go-Change Limited, Taiwan, Shih-Ming Huang.

Beliau merupakan pemegang ijazah dalam bidang pertanian dan pakar dalam bidang aplikasi sistem hidroponik terapung yang mesra alam serta pengasas bagi sistem hidroponik ekologi Green Roof.

Green Roof merupakan penanaman tumbuh-tumbuhan atau tanaman khusus di atas bumbung untuk memberikan kesan penyejukan, membantu mengurangkan pencemaran udara serta meningkatkan lagi suasana ekologi.

Shih-Ming Huang dipetik menerangkan bahawa dengan isu pemanasan global yang menyebabkan suhu dunia meningkat, model penghasilan hidroponik ekologi air boleh menjadi satu sistem atau pilihan yang penting bagi penjimatan air di mana ia mampu untuk menjana tenaga dan membantu mengekalkan kebersihan air.

Sementara itu, beliau menerangkan bahawa akuaponik merupakan sistem akuakultur yang berintegrasi dan hidroponik pula merupakan sistem penanaman tanaman tanpa menggunakan tanah yang mendatangkan manfaat kepada alam sekitar.

Shih-Ming Huang yang akan memberikan penerangan mengenai kaedah penanaman menggunakan sistem akuaponik dan hidroponik yang lebih mesra alam dan menjimatkan tenaga.
Shih-Ming Huang yang akan memberikan penerangan mengenai kaedah penanaman menggunakan sistem akuaponik dan hidroponik yang lebih mesra alam dan menjimatkan tenaga.

pg08_151119_b

Manfaat kaedah akuaponik adalah ia boleh mengurangkan penggunaan ruang sehingga 10 peratus, membolehkan tanaman tumbuh dua kali ganda lebih cepat, dan menggunakan kurang tenaga sehingga 70 peratus berbanding cara penanaman konvensional.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh LiveWIRE Brunei, hari ini, menyatakan bahawa Shih-Ming Huang juga merupakan rakan kongsi konsultasi bagi syarikat Brunei, B.F.B Agtotechnology, yang menggunakan sistem akuaponik mesra alam di mana syarikat itu ditubuhkan pada Disember 2011 dengan hasrat untuk menyediakan penyelesaian bagi pembangunan jangka panjang yang mesra alam dan mapan.

Pengarah bagi Syarikat B.F.B Agrotechnology, Dayang Iffah Billah binti Haji Junaidi, dalam kenyataan itu, dipetik berkata bahawa Shih-Ming Huang merupakan pereka bagi projek yang dikendalikan oleh syarikat berkenaan di Jalan Lampaki, Kampung Mulaut di mana pusat komersial berteknologi tinggi itu dihasratkan untuk menjadi pelantar dalam menunjukkan kepada para usahawan muda, pelajar dan orang ramai yang berminat mengenai teknologi itu.

Sehubungan dengan itu, Shih-Ming Huang akan mengongsi kaedah, struktur sistem dan aplikasi penggunaan sistemnya kepada para usahawan dan pihak yang berminat untuk menerokai kerjaya perniagaan dengan membangunkan sistem akuaponik dan hidroponik mereka sendiri di rumah masing-masing.

Menurut LiveWIRE Brunei, Shih-Ming Huang akan mengongsi pengalamannya semasa sesi ceramah yang akan diadakan di Sesi Forum dan Dialog yang akan diadakan pada 28 November pada pukul 2 petang di OGDC, Seria.

Sehubungan itu, orang ramai dan mereka yang berminat adalah dialu-alukan untuk hadir semasa penyampaian ceramah di Sesi Forum dan Dialog itu nanti di mana masuk adalah percuma.

Promosi PKS LiveWIRE ke-7 dianjurkan bersama oleh LiveWIRE Brunei, OGDC dan Jabatan Daerah Belait dengan kerjasama Lembaga Bandaran Kuala Belait, majlis-majlis perundingan mukim dan kampung di Daerah Belait.

LiveWIRE Brunei merupakan sebahagian daripada organisasi antarabangsa yang beroperasi di lebih 23 buah negara di seluruh dunia. Ia ditaja sepenuhnya dan merupakan projek pembangunan komuniti utama Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd yang bermatlamat untuk menyumbang kepada komuniti Brunei dengan meningkatkan kesedaran perlunya untuk mempelbagaikan ekonomi negara dengan penyertaan dalam kegiatan perniagaan.