Tenaga akademik UNISSA sertai ReCIT 2015

Tenaga akademik UNISSA sertai ReCIT 2015

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Okt – Seramai tujuh orang tenaga akademik Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), telah menghadiri dan seterusnya membentang kertas kerja dalam Seminar Serantau Peradaban dan Pemikiran Islam II (ReCIT 2015) yang diadakan selama dua hari di salah sebuah hotel di Putrajaya, Malaysia.

Menurut kenyataan UNNISA, di sini, hari ini, seminar yang berlangsung pada 27 dan 28 Oktober itu merupakan anjuran bersama Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), UNISSA dan Kolej Dar al-Hikmah (KDH), yang mana, kali ini ia membawa tema ‘Interaksi dan Sumbangan Nusa Bangsa’.

Semasa seminar itu, Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal, yang mengetuai rombongan dari UNISSA, turut menyampaikan ucaptama II bertajuk ‘Ahli Sunnah Wal Jama’ah Wadah Perpaduan Ummah di Negara Brunei Darussalam’, di mana beliau antara lain menjelaskan mengenai Melayu Islam Beraja sebagai falsafah yang dipegang teguh oleh Negara Brunei Darussalam.

Tenaga-tenaga akademik UNISSA yang menghadiri seminar tersebut.
Tenaga-tenaga akademik UNISSA yang menghadiri seminar tersebut.

Seminar ini merupakan satu usaha yang serius dan tulus untuk perkongsian ilmu, perbincangan dan perbahasan dalam kalangan ahli akademik berkaitan kepentingan berinteraksi dalam peradaban yang hasilnya akan menyumbang kepada pembangunan ummah.

UNISSA dan KUIS telah mengendalikan pelbagai program akademik anjuran bersama sebagai salah satu sumbangan ke arah menjana perkembangan intelektual di rantau ini. Program lain yang akan dianjurkan bersama ialah Seminar Antara Universiti Pengajian Lepasan Ijazah (SAPLI 2015) yang akan diadakan di Putrajaya, Malaysia.

ARTIKEL YANG SAMA