Tenaga kerja berkualiti

Tenaga kerja berkualiti

KOTA KINABALU, 24 Julai – Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah komited untuk melahirkan pekerja mahir bagi mengisi keperluan kualiti kerja yang dihasilkan daripada pelbagai industri di negeri ini.

Menterinya, Datuk Raymond Tan Shu Kiah, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata lebih 50 peratus daripada tenaga kerja di negeri ini mempunyai pendidikan rendah atau menengah dan ini membimbangkan kerajaan.

“Ini akan menjadi agenda industri kerajaan negeri kami. Tidak ada guna jika kami menjana peluang pekerjaan yang berkualiti tetapi anak-anak negeri tidak mempunyai kemahiran,” katanya pada sidang media mengenai Sabah Industry Quaterly 2015 (SIQ) yang diterbitkan oleh kementerian itu di sini, Khamis.

Tan menasihatkan para pelajar universiti untuk membuat keputusan mengenai kerjaya pilihan mereka sebelum menamatkan pengajian dengan mendapatkan maklumat mengenai permintaan industri semasa.

Beliau juga menggalakkan sekolah-sekolah, khususnya di kawasan luar bandar, untuk menganjurkan lawatan ke kampus universiti bagi mencetuskan minat dan keseronokan di kalangan murid untuk mengejar pendidikan sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

Isu suku kedua SIQ didedikasikan khususnya kepada penjanaan pekerjaan yang lebih berkualiti dengan lima sektor utama di Sabah iaitu pelancongan, pertanian, kelapa minyak sawit, minyak dan gas, pembuatan dan logistik.

Katanya, penerbitan kali ini turut menekankan kemahiran dan kecekapan utama yang diperlukan oleh setiap sektor.

Sementara itu, Tan mengalu-alukan usahawan dari China untuk melabur di pelabuhan-pelabuhan Malaysia termasuk Pelabuhan Sepanggar dekat sini.

“Saya teruja jika China berminat untuk melabur dalam pelabuhan kami. Kami sebenarnya mempunyai tujuh pelabuhan milik negeri,” katanya.

Baru-baru ini, di Beijing, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, menyambut baik minat usahawan China dan berkata pelabuhan-pelabuhan di Malaysia masih di peringkat pembangunan dan kerajaan berharap untuk meningkatkan taraf mereka ke tahap antarabangsa di mana pelaburan asing amat diperlukan. – Bernama